Categories
SELANGOR

Pekawanis bantu wanita Selangor maju

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM 13 FEB : Demi membela nasib wanita di Selangor untuk mencapai kemajuan, Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) akan terus berusaha membantu golongan itu dalam pelbagai program dijalankan.

Yang Dipertua Pekawanis, Puan Sri Salbiah Tunut berkata, usaha itu adalah langkah ke arah membantu golongan wanita untuk keluar dari kemelut atau garis kemiskinan hidup.

laman-dapur-salbiahKatanya, sejak ditubuhkan pada 2008, Pekawanis merangka banyak aktiviti bagi membantu wanita terutama kalangan berpendapatan rendah dan di bawah paras kemiskinan.

“Bantuan turut diberikan bagi mereka yang memerlukan dan ia termasuk sempena musim perayaan seperti sambutan Tahun Baru Cina kali ini diberi kepada 1,050 penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis sambutan perayaan Tahun Baru Cina di kediaman Menteri Besar Selangor di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Datuk Ahmad Omar, Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail, Adun Hulu Kelang, Saari Sungip dan Naib Yang Dipertua Pekawanis, Datin Soh Soo Koon.

Semua penerima itu adalah daripada DUN Sungai Pinang, Pelabuhan Klang, Kota Anggerik, Batu Tiga dan Hulu Kelang yang menerima sejumlah wang dan barangan keperluan harian ditaja PNSB.

Sejak 2008, Pekawanis membantu dengan sumbangan sebegitu kepada lebih 10,000 orang sempena sambutan perayaan termasuk Aidilfitri dan Deepavali.

Laman DapurSalah satu program dijalankan Pekawanis ialah Laman Dapur yang banyak membantu wanita di Selangor menjana pendapatan menerusi bidang petanian.

Setiausaha Kehormatnya, Noraini Shamsuddin berkata, program itu membantu peserta mendapat pengetahuan tambahan dalam bentuk kemahiran melalui bidang berkenaan.

“Ia memberi peluang peserta untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta menjana hasil pendapatan.

“Kita bukan setakat memberi baja tetapi kita ajar macam mana nak membuat baja dan menghasilkan tanaman berkualiti,” katanya.

Noraini berkata, ia dijalankan hasil kerjasama Jabatan Pertanian Selangor sejak 2009 menerusi bantuan bumi hijau dengan objektif menanam pokok dan mendapatkan hasil bagi meringankan beban tanggungan.

Peringkat awal projek itu dibuat dengan Pekawanis menyalur bantuan bagi tanaman pokok serai, limau purut dan limau nipis.

Ia meningkat maju saban tahun dengan sistem penambahbaikan dengan bantuan kepada lebih ramai peserta selain peruntukan geran Selangorku disediakan Kerajaan Negeri.

Noraini menjelaskan, peruntukan itu membolehkan Pekawanis membantu setiap peserta mendapat kira-kira RM2,700 dalam bentuk 250 poli beg dengan benih pokok selain kaedah penanaman lebih baik.

“Misi Pekawanis membantu rakyat dalam bentuk kebajikan khususnya wanita untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan membina kerjaya,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.