Categories
NASIONAL

PKR: SPRM patut buka kembali siasatan kes RM40 juta Musa Aman, Michael Chia

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 27 FEB : PKR menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kembali siasatan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dalam kes wang RM40 juta yang dikaitkan dengan kutipan dari syarikat-syarikat balak kerana bukti-bukti pemindahan wang membabitkan Ahli Perniagaan, Michael Chia.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkata siasatan itu perlu dibuka semula ekoran hukuman penjara dan sebatan yang dijatuhkan ke atas Michael Chia dalam kes yang membabitkan permit membalak di Sabah.

musa amanKatanya, kejayaan pendakwaan SPRM terhadap Chia membuktikan SPRM berkemampuan mengumpul bukti yang baik untuk memastikan pendakwaan berjaya.

“Itu adalah salah satu kes utama yang memberi gambaran bagaimana permit membalak telah disalahgunakan oleh ahli-ahli politik dan pegawai awam untuk membina kekayaan peribadi.

“Hukuman bersalah ke atas Michael Chia itu menghidupkan kembali banyak pertanyaan mengenai siapa di belakangnya?

“Sebab itu, keputusan bersalah yang dijatuhkan kepada Michael Chia menguatkan spekulasi mengenai kes wang RM40 juta yang sebelum ini menjadi kontroversi melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

rafizi-TI-01Rafizi berkata fakta kes itu sebelum ini melalui pelbagai bukti pemindahan wang, keterangan SPRM dan maklumat daripada ICAC di Hong Kong yang menunjukkan memang ada pemindahan wang berjumlah RM40 juta tetapi ia tidak disiasat sebagai rasuah kerana wang itu dikatakan derma politik kepada Umno Sabah.

“Keputusan bersalah terhadap Michael Chia ini juga adalah satu tamparan kepada Datuk Seri Nazri Aziz yang mempunyai hubungan dengan Michael Chia terutama apabila anak beliau menggunakan kereta mewah milik Michael Chia seperti yang saya dedahkan sebelum ini.

“Apatah lagi apabila Datuk Seri Nazri Aziz sendiri yang tampil di Parlimen menjelaskan bahawa tidak ada unsur rasuah di dalam kes-kes melibatkan Datuk Seri Musa Aman dan Michael Chia yang mengundang kontroversi sebelum itu,” katanya.

Rafizi sebelum ini pernah membuat laporan kepada SPRM terhadap Nazri dan keluarganya dengan tuduhan Chia memberi anak menteri tersebut kenderaan mewah bagi membebaskan dirinya daripada tuduhan rasuah.

Rafizi juga memaparkan tujuh video pengintipan sebagai bukti tambahan dengan video yang menunjukkan keluarga Nedim yang merupakan anak Nazri menggunakan kenderaan mewah Chia.

“Walaupun keputusan terhadap Michael Chia ini adalah satu peningkatan baik yang ditunjukkan SPRM, rakyat memerhati sama ada SPRM bakal mendakwa penjawat-penjawat awam berpangkat tinggi yang terlibat sama.

“Jika tidak, selama-lamanya SPRM dilihat hanya mendakwa bilis sedangkan jerung terus terlepas,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.