Oleh : Lizawati Madfa
SHAH ALAM 13 FEB : Kerajaan Negeri akan menggerakkan kempen ‘Ayuh Gempur Aedes Khas’ ke Kajang bagi membasmi lokaliti pembiakan nyamuk Aedes di sana yang merupakan salah satu lokaliti hot spot di Selangor.
Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi Dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi berkata perlaksanaan kempen yang dijadualkan berlangsung pada 2 Mac itu sekaligus bertujuan mengekang penularan penyakit demam denggi.
Katanya, langkah memilih Kajang juga bersempena dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang yang berlangsung pada bulan hadapan dengan mengambil kira kebanjiran ribuan orang awam dari seluruh pelusuk negara.
“Kempen pencegahan ini kita anjurkan bagi memelihara kesihatan dan keselamatan penduduk tempatan.
“Kita juga tidak mahu orang awam yang yang datang bertugas sebagai petugas pilihanraya tidak kira dari belah parti mana sekalipun, pulang ke negeri asal masing-masing dengan membawa wabak denggi dari Kajang,” katanya dalam sidang media Mesyuarat Exco.
Pada masa sama, beliau berkata pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan kerjasama beberapa lagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah mengenalpasti lokaliti-lokaliti pembiakan nyamuk Aedes di sekitar Kajang.
“Hasil lawatan, dilihat terdapat banyak projek-projek pembinaan yang sedang giat beroperasi di Kajang termasuk pembinaan projek sistem pengangkutan bandar dan Aliran Transit Massa (MRT).
“Tapak-tapak ini dilihat sebagai lokasi hot spot pembiakan nyamuk Aedes di sana.
“MPKj akan mengenalpasti dan terus memantau tapak pembinaan ini, selain itu notis atau arahan pembersihan akan diberikan demi memastikan lokaliti ini dalam keadaan baik dan bebas dari pembiakan nyamuk Aedes,” katanya lagi.
Sehingga 8 Februari tahun ini, Daerah Hulu Langat mencatatkan kes daftar denggi kedua tertinggi iaitu sebanyak 1784 kes selepas Daerah Petaling sebanyak 2,738 kes.
EZY