Categories
NASIONAL

Halang pemimpin PKR masuk Sarawak, BN gentar rakyat berpaling tadah

SHAH ALAM, 28 MAC: Tindakan kerajaan Sarawak menghalang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) memasuki negeri itu adalah bermotif politik dan berniat jahat, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata, PKR dibenarkan bergerak bebas ke seluruh negara termasuk di Sarawak kerana mereka adalah parti politik yang berdaftar.

“Kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem bahawa larangan masuk itu dengan alasan akan menimbulkan huru-hara atau kacau ganggu dan memberi kesan buruk kepada hubungan kaum memang jelas bermotif politik serta berniat jahat kerana tidak pernah dibuktikan,” katanya yang dipetik daripada Keadilan Daily.

Saifuddin Nasution Ismail putih 01Pada 25 Mac lalu, Saifuddin disekat memasuki Sarawak ketika tiba di Sibu pada jam 11 pagi dan dimaklumkan bahawa satu arahan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri Sarawak untuk menyekat beliau daripada memasuki negeri itu.

Turut menerima nasib sama adalah Naib Presiden PKR, Tian Chua; Pengarah Strategi, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin.

Saifuddin berkata, itu adalah kali pertama beliau dilarang memasuki negeri berkenaan dan tidak pernah berlaku tindakan menghalang pemimpin pembangkang daripada semenanjung untuk menyertai sebarang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di bumi kenyalang.

“Tidak pernah ada masalah selama ini untuk masuk ke Sarawak sejak PKR ditubuhkan, pada tahun 1999. Saya percaya, ia sekadar mengesahkan Barisan Nasional (BN) Sarawak semakin gentar terhadap pengaruh PKR dan kesedaran rakyat negeri itu yang menerima baik parti ini,” katanya.

Adenan-SatemKatanya, larangan itu juga menunjukkan Adenan bimbang dengan kemaraan PKR menjelang Pilihan Raya Sarawak yang akan diadakan dalam tempoh dua tahun lagi.

“Satu cara digunakan Adenan untuk menyekat kemaraan PKR adalah dengan cara mengenakan sekatan masuk terhadap pemimpin kita ke Sarawak. Adenan terlepas peluang untuk keluar daripada kepompong Taib Mahmud dan hanya menjadi penerus kepada pengaruh dan polisinya tetapi anehnya kita tidak pernah hadapi masalah sebelum ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.