Categories
SELANGOR

Jerebu jejas pendapatan nelayan pesisir pantai

Oleh : NAEEM RAFFI

BANTING, 26 MAC: Keadaan jerebu yang melanda negara baru-baru ini turut menyebabkan pendapatan nelayan turut terjejas apabila tidak dapat turun ke laut.

Tinjauan Selangor Kini di Jeti Kampung Nelayan Kelanang, di sini, baru-baru ini dimaklumkan bahawa setengah daripada 380 nelayan di kawasan itu tidak turun ke laut ketika jerebu teruk melanda kawasan itu.

Hal itu kerana, jerebu yang menebal dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) hampir mencecah 200 menghadkan jarak penglihatan sekitar 300 hingga 500 meter di lautan, sekali gus menjadi punca utama nelayan memilih untuk tidak ke laut.

Abdul Rahman Karim 65Abdul Rahman Karim, 64, berkata keadaan itu bukan sahaja menyukarkan mereka mengemudi bot tetapi khuatir akan berlanggar dengan nelayan lain.

“Kami nelayan pesisir pantai (Zon A), bot yang digunakan adalah jenis biasa dan tiada kemudahan sistem penunjuk arah atau GPS. Jadi, kami kerap bunyikan hon sebagai isyarat berada di laluan itu yang turut diamalkan nelayan lain bagi mengelak daripada berlanggar,” katanya.

Katanya, ancaman jerebu juga menyebabkan cahaya dari rumah api di Bukit Jugra tidak dapat dilihat untuk panduan nelayan yang keluar dan masuk, pada waktu malam.

Johari Siput 54Bagi Johari Siput, 54, jerebu yang berlaku baru-baru ini antara yang terburuk pernah dialaminya sepanjang menjadi nelayan sejak berusia 15 tahun.

“Saya sendiri pernah berpatah balik ke darat kerana keadaan di laut ketika itu terlalu kabur. Kalau diikutkan, saya tidak mahu mengambil risiko turun ke laut ketika jerebu, tetapi hanya bergantung harap kepada hasil laut.

“Mahu atau tidak, kami terpaksa ke laut untuk menampung perbelanjaan dan kos kehidupan,” katanya.

Helmi Mislan, 28Sementara itu, Helimi Mislan, 28, berkata dia mengambil upah membuat kerja kampung dan membaiki enjin bot ketika jerebu melanda demi menampung perbelanjaannya yang merosot teruk ekoran gagal ke laut.

“Nelayan bergantung harap kepada cuaca dan juga pasang surut air untuk ke laut mencari rezeki.

Kalau jerebu, rezeki kami akan terjejas, jadi saya terpaksa mencari pendapatan sampingan daripada sumber lain untuk menampung komitmen kewangan yang semakin menekan,” katanya.

Pemborong Ikan Hong King MooiPemborong ikan dari Sekinchan, Hong King Mooi, 48 ketika dihubungi berkata, pihaknya terpaksa mengawal harga ikan walaupun berdepan dengan kerugian jika nelayan gagal ke laut untuk tempoh yang panjang.

“Kalau naikkan harga, ramai akan kata pemborong ambil kesempatan. Jadi, saya terpaksa kawal harga ikan selagi mampu dan kini berasa lega apabila nelayan sudah kembali aktif ke laut selepas jerebu berkurangan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.