Categories
KENYATAAN MEDIA

Kerajaan BN patut menjawab sokongan konsert FMFA

Oleh: Nik Nazmi Nik Ahmad

Kematian enam orang di Future Music Festival Asia (FMFA) yang diadakan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur adalah peristiwa yang amat menyedihkan. Pada masa yang sama 14 pengunjung FMFA dirawat berikutan konsert tersebut di 3 hospital di sekitar Kuala Lumpur. Kita berharap merekapulih dengan segera.

40 orang telah ditangkap polis berkaitan pemilikan dadah ecstacy, ganja dan jenis yang belum dikenalpasti.

konsert liarTragedi ini menimbulkan beberapa persoalan yang wajib dijawab pihak berkuasa. FMFA tahun ini merupakan kali ketiga konsert ini diadakan di Malaysia. Tahun ini, dijangka 75,000 pengunjung hadir ke acara tersebut.

FMFA mendapat dokongan daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menerusi Malaysia Major Events sebuah bahagian di bawah agensi Kementerian tersebut iaitu Malaysia Convention and Exhibition Bureau.

Menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) di bawah Jabatan Perdana Menteri, Malaysia Major Events ditugaskan menjadikan Malaysia destinasi utama acara-acara sedunia.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz menyempurnakan majlis pelancaran senarai artis FMFA 2014 pada 17 Oktober 2013.

Dalam ucapannya, Nazri menganggap FMFA 2014 sebagai acara penting Tahun Melawat Malaysia 2014. Pihak penganjur, Iqbal Ameer yang merupakan Pengarah Livescape Sdn. Bhd. telah bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Khairy dalam kenyataannya pada 16 Mac memaklumkan Iqbal memohon untuk menggunakan perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bagi FMFA. Tetapi Khairy, mahupun Nazri tidak boleh lepas tangan dalam hal ini.

Mengapa tidak diselidik dengan lebih mendalam tentang acara yang hendak dianjurkan? Khairy sendiri mengakui beliau sedar bahawa ada pengunjung acara-acara electronic dance music atau trance – seperti FMFA ini – yang terlibat dalam pengambilan dadah. Ini merupakan maklumat yang diketahui umum di seluruh dunia.

Jika begitu, mengapakah acara ini mendapat dokongan Kerajaan Persekutuan? Adakah pihak berkuasa telah meletakkan kawalan keselamatan dan seliaan yang sewajarnya?

* Nik Nazmi Nik Ahmad adalah Timbalan Speaker DNS dan Adun Seri Setia

Leave a Reply

Your email address will not be published.