Categories
AGENDA NASIONAL

Arab Saudi: Permohonan umrah Ramadan sudah dibuka

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Kementerian Haji dan Umrah (MoHU) Arab Saudi mengumumkan permohonan permit untuk mengerjakan ibadah umrah sepanjang bulan Ramadan sudah dibuka mulai Ahad iaitu 6 Mac lalu melalui aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna.

Kementerian itu menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Twitter rasminya menjelaskan ini bagi memudahkan bakal jemaah umrah Ramadan menyusun perancangan mereka lebih awal.

Bagaimanapun, kementerian mengingatkan jemaah yang mahu menukar tarikh tempahan permit akan diminta membatalkan permohonan terdahulu dan membuat permohonan baharu.

“Ini bagi memberi peluang sama rata kepada jemaah lain membuat tempahan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, slot tempahan umrah pada bulan Ramadan akan ditambah kepada 12 slot sehari berbanding lapan sebelum ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jemaah umrah alami kerugian hanya perlu bawa kad pengenalan

KUALA TERENGGANU, 11 FEB: Jemaah umrah yang bakal menerima pembayaran daripada kerajaan ekoran menanggung kerugian sepanjang penangguhan sementara ibadah tersebut selama sebulan bermula 8 Jan lepas, hanya perlu membawa kad pengenalan masing-masing ke mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji (TH) kelak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata mereka tidak perlu melakukan sebarang pendaftaran memandangkan senarai nama akan diberikan oleh agensi pelancongan yang mengendalikan umrah mereka.

“Kita akan ambil nama (jemaah umrah yang terlibat) daripada agensi pelancongan, nama-nama ini kita akan pastikan ‘clear’, betul ada akaun dia, maka kita suruh ahli jemaah pergi ambil (bayaran) di Tabung Haji.

“Tidak perlu daftar. Bawa kad pengenalan sahaja. Apabila senarai nama diberi kepada MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya), jadi MOTAC akan beri kepada Tabung Haji,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Perniagaan Program Inspirasiku MyHAUS di Kampung Raja Barang dekat Chendering, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan akan membayar 50 hingga 60 peratus kerugian yang dialami oleh jemaah umrah sepanjang penangguhan sementara ibadah tersebut selama sebulan bermula 8 Jan.

Ahmad Marzuk berkata TH dan MOTAC telah melakukan tapisan senarai jemaah yang menanggung kerugian, bagaimanapun proses berkenaan masih dalam penelitian di peringkat akhir dan ia dijangka dapat diselesaikan pada pertengahan bulan ini.

Terdahulu, Idris menyampaikan replika cek bantuan perniagaan sebanyak RM5,000 kepada seorang asnaf yang menjalankan perniagaan kuih dan roti, Mohd Khaizuan Oslan Affandi, 34.

Secara keseluruhannya, Program Inspirasiku MyHAUS yang dilaksanakan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah memberi bantuan bernilai RM50,000 kepada Mohd Khaizuan meliputi bantuan baik pulih tempat tinggal, bantuan kelestarian perniagaan dan bantuan pendidikan anak-anak.

Mohd Khaizuan yang juga bapa kepada empat anak itu sebelum ini turut menerima bantuan peralatan perniagaan seperti peti penyimpanan roti dan mesin membuat roti serta diberi bimbingan untuk menguruskan perniagaannya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dos penggalak wajib bagi jemaah umrah berkuat kuasa 14 Februari

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Jemaah umrah kini diwajibkan menerima dos penggalak yang merupakan antara tatacara operasi piawai (SOP) baharu, berkuat kuasa 14 Feb ini, menurut Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata selain itu, jemaah umrah dibenar menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman tanpa memohon kelulusan portal Permohonan Kuarantin Di Rumah (HQA).

“Jemaah juga dibenarkan menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin swasta dengan kos penginapan, makan minum dan rawatan ditanggung sendiri.

Selain itu, mereka yang dipertanggungjawabkan dari ejen pelancongan perlu memantau kepatuhan jemaah umrah semasa di Tanah Suci, perjalanan balik ke Malaysia dan semasa di PMA (pintu masuk antarabangsa) Malaysia,” katanya dalam sidang media mengenai hasil Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata jemaah umrah yang akan berangkat ke Tanah Suci hari ini sehingga 13 Feb terikat dengan SOP sedia ada namun apabila pulang semula ke tanah air, mereka diwajibkan mematuhi SOP baharu yang dikuatkuasakan.

Pada 26 Jan, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan kabinet membuat keputusan membenarkan umat Islam kembali mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Feb (hari ini).

Keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak berhasrat melanjutkan penangguhan sementara ibadah umrah yang berkuat kuasa 8 Jan lepas berikutan penularan jangkitan varian Omicron.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Umrah dibenar semula mulai 8 Februari, SOP lebih terperinci

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Kabinet hari ini memutuskan untuk membenarkan semula umat Islam mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Feb ini, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak berhasrat memanjangkan tempoh penggantungan perjalanan ibadah itu yang berkuat kuasa 8 Jan lepas susulan penularan jangkitan varian Omicron COVID-19.

“Baru tadi kami (Kabinet) sudah membuat keputusan…kita tidak mahu memanjangkannya lagi (tempoh penggantungan) jadi apabila 8 Feb ini nanti, bolehlah ejen-ejen pelancongan umrah meneruskan aktiviti umrah masing-masing,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan perjalanan umrah selepas Majlis Pelancaran Video Kempen Dream Malaysia di sini, hari ini.

Nancy berkata prosedur operasi standard (SOP) untuk kebenaran perjalanan itu masih sama seperti sebelum ini antaranya mewajibkan jemaah mengambil dos penggalak.

“SOP dari dulu sama. Tinggal (cuma) hanya ada beberapa SOP baharu untuk mereka (jemaah) dan itu akan dibincang bersama pihak ejen pelancongan umrah. Jadi SOP yang terperinci akan dibincang selanjutnya,” katanya.

Pada 1 Jan lepas, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan susulan peningkatan varian Omicron COVID-19 dalam kalangan jemaah yang pulang dari Arab Saudi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata penilaian risiko situasi COVID-19 membabitkan varian itu di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Proses nilai risiko, SOP umrah dimuktamad bulan depan

SHAH ALAM, 19 JUN: Penilaian risiko dan tatacara operasi piawai (SOP) perjalanan umrah akan dimuktamadkan menjelang pertengahan Februari ini.

Menurut kenyataan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kementerian Kesihatan hari ini, perkara itu adalah maklum balas daripada sesi libat urus kedua-dua kementerian itu bersama Persatuan Agensi Pelancongan (Umrah) hari ini.

Libat urus yang dikendalikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin itu adalah bagi mendapatkan maklum balas berhubung hala tuju industri umrah susulan keputusan penangguhan sementara yang sedang berkuat kuasa.

“Kedua-dua menteri dalam maklum balas mereka telah menyatakan komitmen untuk memperincikan dan memperhalusi setiap isu serta cadangan yang dikemukakan di peringkat kementerian masing-masing sebelum membentangkan cadangan penambahbaikan kepada Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 akan datang,” menurut kenyataan itu.

Antara perkara yang dibangkitkan oleh pemain industri pelancongan umrah adalah SOP berkaitan pelaksanaan perjalanan umrah, isu bayaran balik dan penjadualan semula penerbangan, perlindungan insurans, garis masa pembukaan semula perjalanan umrah dan bantuan pemulihan kepada industri pelancongan.

Sehubungan itu, kedua-dua kementerian berharap agar semua pemain industri dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan aktiviti umrah dapat terus dilaksanakan dengan selamat.

Turut hadir dalam sesi libat urus itu pengurusan tertinggi kedua-dua kementerian, wakil agensi persekutuan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jabatan Imigresen Malaysia serta ahli daripada Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia, Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kesan 16 kluster Covid-19 libatkan jemaah umrah

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Sebanyak 16 kluster Covid-19 melibatkan jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi dikesan bagi tempoh 25 Nov lepas hingga hari ini dengan tujuh kluster daripadanya melibatkan kes indeks disahkan varian Omicron.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam kluster melibatkan kes indeks Presumptive Omicron (berkemungkinan) yang sedang menunggu keputusan jujukan genom penuh (WGS), dan tiga kluster melibatkan kes indeks positif Covid-19 bukan varian Omicron.

Beliau berkata punca penularan disebabkan oleh aktiviti semasa melaksanakan umrah yang tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) kerana tiada amalan penjarakan fizikal, tiada kewajiban pemakaian pelitup muka, serta melibatkan jemaah umrah yang datang dari seluruh pelusuk dunia.

“Selain itu, semasa dikuarantin di rumah selepas pulang dari mengerjakan umrah, terdapat aktiviti yang tidak mematuhi SOP seperti adanya aktiviti kunjung-mengunjung, menziarahi jemaah atau keluarga yang baru pulang dari tanah suci, serta lain-lain lagi.

“Situasi peningkatan kes daripada kluster jemaah umrah yang dilaporkan ini dianggap serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh masa yang singkat serta penularan daripada kes jangkitan import kepada keluarga berlaku dengan cepat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 456 individu dalam kluster jemaah umrah itu telah disaring dan didapati 219 kes positif yang menjadikan kadar positif sebanyak 48 peratus.

Jelasnya, kesemua 219 kes tersebut dalam kategori satu dan dua, dan sehingga kini tiada kes yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), serta tiada kematian yang dilaporkan daripada kluster jemaah umrah ini.

Sementara itu, beliau berkata kumulatif kes sembuh Covid-19 di negara ini kini berjumlah 2,720,399 kes selepas 2,977 lagi kes sembuh direkodkan sehingga 12 tengah hari ini, manakala kes baharu pula sebanyak 3,175, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 kini 2,792,035.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 99 kes baharu varian membimbangkan (VOC) dilaporkan sejak 3 Jan lepas sehingga semalam dengan 91 kes baharu varian Delta dan lapan kes baharu varian Omicron.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tangguh umrah untuk perlahankan penularan Omicron – Khairy

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Penangguhan sementara aktiviti umrah bertujuan memperlahankan penularan varian Omicron Covid-19 dalam negara kerana berdasarkan data hampir 78 peratus ‘presumptive’ (jangkaan) Omicron baharu adalah daripada jemaah umrah, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menerusi catatan di akaun Twitternya beliau berkata mengikut Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), ‘presumptive’ Omicron, telah 100 peratus disahkan Omicron melalui jujukan genom penuh.

“Penilaian risiko akan terus dilakukan. Buat masa ini Kementerian Kesihatan (KKM) tahu satu dos penggalak diperlukan. Lebih dari itu kita (KKM) kaji dari semasa ke semasa bila data saintifik baharu muncul. Yang penting respons kita (KKM) ikut data yang baharu. Ini yang dimaksud respons yang evidence-based,” katanya.

Semalam Khairy mengumumkan kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan ini bagi membendung penularan varian Omicron Covid-19.

Penangguhan itu adalah susulan kebimbangan terhadap penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada prosedur kuarantin kediaman masing-masing yang menyebabkan berlakunya jangkitan dalam kalangan ahli keluarga mereka.

Khairy berkata kebolehjangkitan Omicron adalah lebih besar berbanding varian Delta dan jika denominator kes lebih besar, sudah pasti kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) lebih tinggi, dan KKM mahu mengelak sistem kesihatan negara menjadi lumpuh disebabkan varian ini, melalui strategi memperlahankan penularannya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan gelombang besar Omicron akan bermula di Malaysia seperti mana di negara-negara lain.

Beliau berkata justeru liputan dos penggalak yang luas; pemakaian pelitup muka; pengudaraan yang baik; TRIIS atau ‘Test, Report, Isolate, Inform, Seek’;  MySJ Trace dan kawalan pintu masuk antarabangsa, merupakan antara langkah memperlahankan penularan Omicron.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi akaun Twitter beliau berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 berdasarkan jangkaan mengikut kes seharian  pada 1 Jan untuk seluruh negara adalah 0.99.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jemaah umrah diarah buat RT-PCR sebelum berlepas pulang, tiba di Malaysia

SHAH ALAM, 1 JAN: Jemaah umrah yang akan pulang ke Malaysia perlu melakukan ujian pantas polimeras masa nyata (RT-PCR) dua hari sebelum tarikh berlepas dan pada hari ketibaan.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata mereka juga perlu menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian selama tujuh hari di stesen kuarantin berkuat kuasa 3 Januari ini.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut memaklumkan sekiranya bergejala, jemaah umrah perlu melakukan saringan pengesanan menggunakan RTK Antigen (RTK-Ag).

Jemaah juga diarah sekali lagi melakukan ujian RT-PCR pada hari kelima dan diberi pelepasan daripada kuarantin pada hari ke lapan sekiranya tiada pelanjutan dan keputusan saringan pada hari kelima negatif.

Hari ini, kerajaan memutuskan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Januari ini bagi membendung penularan varian Omicron Covid-19.

Menteri Kesihatan memaklumkan sebanyak 1,306 kes atau 11.76 peratus daripada 11,108 jemaah umrah dikesan positif Covid-19 sehingga 30 Disember lalu.

Khairy Jamaluddin berkata daripada jumlah tersebut, 592 kes dikesan positif pada ujian pertama semasa hari ketibaan di Malaysia dan 714 kes dikesan pada ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tangguh umrah: KKM bincang bayaran balik, jadual semula perjalanan

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengadakan perbincangan dan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi membantu bakal jemaah yang terkesan susulan penangguhan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan umrah bermula 8 Jan ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia termasuk berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), sama ada jemaah diberi pembayaran balik atau dijadualkan semula perjalanan mereka.

“Memang kita dah bincang dengan mereka bagaimana mereka yang terkesan ini dapat sama ada menjadualkan semula umrah mereka dan langkah untuk dapat bayaran balik selain kita juga akan terus adakan sesi libat urus dengan agensi pelancongan.

“Saya minta maaf kepada mereka yang nak pegi umrah tetapi mudarat yang besar adalah kesihatan awam…tidak ada menteri beragama Islam yang ingin tangguhkan ibadah umrah, tetapi ini perkara yang serius, ini bukan tweet di media sosial, ini bukan video di Tiktok, ini adalah kehidupan anda,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Kerajaan hari ini menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan bagi membendung penularan Omicron, susulan kebimbangan terhadap penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada tatacara kuarantin di tempat kediaman.

Ditanya mengenai kos kuarantin wajib di pusat kuarantin yang akan dikenakan kepada jemaah umrah, Khairy berkata mereka mempunyai pilihan sama ada untuk menanggung sendiri bayaran kos kuarantin di hotel yang akan disenaraikan oleh KKM atau menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang disediakan kerajaan.

Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sedang menguruskan stesen kuarantin yang sesuai dan selesa untuk menempatkan para jemaah dan berkemungkinan melibatkan kemudahan kerajaan yang digunakan sebagai pusat kuarantin sebelum ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata KKM sedang mengkaji berkenaan suntikan dua dos vaksin Covid-19 jenis Sinovac diikuti dos penggalak Pfizer-BioNTech yang didakwa menunjukkan tindak balas imun yang rendah melawan Omicron, berbanding varian lain.

“Kita telah terima berita tersebut, kumpulan teknikal sedang mengkaji maklumat yang diperoleh dan mereka akan buat syor kepada CITF (Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19).

“Sama ada mereka yang telah terima Sinovac, Sinovac, Pfizer mesti dilengkapi dengan satu dos lagi, tetapi masih terlalu awal untuk buat apa-apa kesimpulan buat masa ini tetapi kita dah tahu berita tersebut dan sedang dikaji,” katanya.

Media melaporkan kajian yang dilakukan sekumpulan penyelidik dari Universiti Yale, Kementerian Kesihatan Republik Dominican serta beberapa institusi lain mendapati dua suntikan vaksin Sinovac diikuti dos penggalak Pfizer-BioNTech menunjukkan tindak balas imun yang rendah melawan Omicron, berbanding varian lain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

55 jemaah umrah Malaysia positif Covid-19, jalani kuarantin di Mekah

SHAH ALAM, 30 DIS:  Kesemua 55 orang jemaah umrah dari Malaysia yang sedang menjalani kuarantin di Mekah, Arab Saudi kerana positif Covid-19 sejak Isnin lalu berada dalam keadaan baik.

Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah berkata jemaah terbabit tidak menunjukkan simpton Covid-19 yang teruk dan ditempatkan di bilik hotel berasingan.

Katanya pihak agensi pelancongan yang membawa jemaah umrah itu menyediakan makanan dan minuman tiga kali sehari selain menghantar ubat-ubatan.

“Ujian PCR seterusnya akan dilakukan dalam masa terdekat. Jemaah yang mendapat keputusan negatif akan terus dibeli tiket penerbangan untuk pulang ke Malaysia,” katanya kepada Selangorkini melalui Facebook hari ini.

Terdahulu Wisma Putra ketika dihubungi menyatakan pihaknya berhubung rapat dengan para jemaah umrah terbabit dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah telah menghantar pasukan bagi memberikan bantuan.

Sementara itu Pengarah Urusan In Saff Travel and Tours Sdn Bhd Mohd Fahmi Mohd Nawi dalam kenyataan berkata pihaknya mempunyai pasukan operasi khas di Arab Saudi yang menyantuni jemaah bermula hari pertama mereka menjalani kuarantin.

“Kami telah memaklumkan kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Arab Saudi berkenaan dengan isu ini pada 28 Disember dengan melampirkan maklumat jemaah seperti pasport, visa dan keputusan ujian PCR.

“Marilah sama-sama kita doakan agar jemaah kami sabar dan tabah serta cepat sembuh,” katanya.

Pada 28 Disember lalu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan Arab Saudi dimasukkan dalam 18 negara berisiko tinggi jangkitan varian Omicron.

Jemaah umrah yang pulang ke tanah air kini diwajibkan memakai peranti penjejak digital sepanjang tempoh kuarantin.

Sabtu lepas Kementerian Kesihatan mengumumkan sebanyak 62 kes varian Omicron dikesan di negara ini dengan 30 daripadanya membabitkan jemaah umrah.
Categories
AGENDA NASIONAL

Terlalu awal sekat umat Islam tunai umrah – menteri

PUTRAJAYA, 28 DIS: Kementerian Kesihatan (KKM) berpandangan masih terlalu awal untuk melaksanakan sekatan ke atas umat Islam di negara ini untuk mengerjakan umrah di Mekah berikutan peningkatan kes varian Omicron, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

Bercakap pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 hari ini, beliau berkata ketika ini KKM masih memantau trend kes berkaitan varian itu selain mewajibkan mereka yang baharu pulang mengerjakan umrah untuk menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama tujuh hari dan memakai gelang peranti digital.

“Kita tidak mahu buat keputusan terburu-buru untuk sekat orang ramai (umat Islam) untuk mengerjakan umrah.

Buat masa ni walaupun ada peningkatan kes varian Omicron yang mendadak dari Arab Saudi tapi kita (KKM) minta patuh kepada HSO serta elak daripada bergaul dengan ahli keluarga dengan mengasingkan diri di dalam bilik dan menggunakan tandas berasingan,” katanya.

Sehingga kini menurut KKM terdapat 30 kes membabitkan varian Omicron yang dikesan sebagai kes import dari Arab Saudi daripada 62 kes yang dilaporkan sejak Sabtu lepas.

Khairy berkata pihaknya juga menggalakkan individu yang baharu pulang daripada mengerjakan umrah untuk melakukan ujian kendiri Covid-19 sepanjang menjalani kuarantin.

Langkah ini perlu diambil memandangkan terdapat individu yang didapati positif pada hari kelima kuarantin walaupun ujian calitan mereka semasa ketibaan adalah negatif.

KKM juga mengarahkan syarikat pelancongan yang menguruskan umrah untuk mewajibkan setiap individu yang ingin menunaikan ibadah tersebut untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.

“Suntikan dos penggalak amat penting khususnya kepada kumpulan berisiko tinggi seperti mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas serta mempunyai sejarah komorbid.

Langkah berhati-hati ini perlu dengan mengambil kira tahap kebolehjangkitan varian Omicron adalah tinggi,” katanya menambah langkah itu juga terpakai bagi individu yang merancang melakukan perjalanan ke negara-negara lain.

Ditanya sekiranya penularan varian Omicron pada tahap membimbangkan kerana varian itu lebih mudah berjangkit berbanding Delta, Khairy tidak menolak kemungkinan kerajaan akan mengarahkan individu yang baharu pulang dari mengerjakan umrah untuk menjalani menjalani kuarantin di pusat kuarantin.

“Sekiranya penularan varian Omicron dari Arab Saudi ini pada tahap membimbangkan, maka kita akan pertingkatkan usaha dengan mengarahkan mereka kuarantin di pusat kuarantin atau sekat perjalanan ke Arab Saudi tetapi perlu pantau dahulu dan buat secara berperingkat,” katanya.

Mengenai kekecohan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, beliau berkata ianya disebabkan kekurangan kaunter pemakaian peranti digital sehingga menyebabkan kesesakan dalam kalangan individu yang baharu pulang daripada mengerjakan umrah.

Katanya, pihaknya juga telah mengarahkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk menambah kaunter terbabit selain penambahan jumlah petugas bagi memastikan proses pemakaian peranti digital berjalan lancar.

“Tadi saya telah meninjau kaunter tersebut dan saya difahamkan bahawa MAHB akan tambah kaunter pada Khamis ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua kes Omicron di Johor babit suami isteri pulang dari umrah

JOHOR BAHRU, 26 DIS: Johor mencatatkan dua kes Covid-19 varian Omicron terawal melibatkan pasangan suami isteri yang baru tiba dari Arab Saudi, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan.

Beliau berkata dua kes Omicron yang dilaporkan semalam itu membabitkan sepasang suami isteri yang pergi menunaikan umrah pada 4 Dis lalu dan pulang ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Dis.

“Ujian Saringan PCR di Pintu Masuk Antarabangsa yang dijalankan pada 16 Dis dikesan positif pada 18 Dis lepas. Sampel PCR tersebut kemudiannya telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi menjalani proses jujukan genom, dan keputusan kemudiannya didapati positif Omicron.

“Kedua-duanya sedang menjalani isolasi di rumah dan kesemua kontak rapat kepada kedua-dua kes juga telah dikenal pasti dan telah diberikan arahan pengasingan dan pemerhatian di rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu di Melaka, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh mengesahkan satu kes positif Covid-19 varian Omicron di kesan di negeri itu semalam.

Beliau berkata kes merupakan wanita berusia 34 tahun bersama suaminya yang baru pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan umrah dari 4 hingga 15 Dis lepas.

“Di KLIA, kes telah menjalani ujian PCR Covid-19 dan pulang ke Melaka menaiki van persiaran sewaan khas agen umrah. Kes juga diarahkan menjalani HSO selama tujuh hari,” katanya dalam sidang media di Wisma Persekutuan hari ini.

Dr Muhamad Akmal berkata keputusan ujian PCR kes disahkan positif Covid-19 pada 18 Dis dan dirujuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Bukit Serindit dan menjalani isolasi di rumah kerana berkategori 1, sebelum disahkan sebagai positif Covid-19 varian Omicron semalam dan dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Melaka bagi tujuan pemantauan rapi. Setakat ini, wanita berkenaaan dilaporkan stabil,” katanya.

Hasil siasatan awal mendapati sembilan kontak rapat iaitu lapan kontak rapat dari keluarga yang mana berada di Melaka dan dua orang lagi di Kuala Lumpur dan seorang kontak kasual iaitu pemandu van agen umrah.

Jelas Dr Akmal, kesemua kontak rapat diarahkan menjalani HSO selama 14 hari dan ujian PCR mendapati lima daripada mereka disahkan positif iaitu empat di Melaka dan seorang di Kuala Lumpur.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan, sebanyak 49 kes baharu varian Omicron dikesan di negara ini sehingga Jumaat lepas.

Beliau dilaporkan berkata 30 kes varian Omicron adalah melibatkan warganegara Malaysia yang tiba dari Arab Saudi bermula 13 hingga 17 Dis lalu, manakala kes selebihnya adalah ketibaan dari luar negara membabitkan United Kingdom, Qatar, Amerika Syarikat, Nigeria, Turki, Itali, Ghana dan Emeriah Arab Bersatu.

-BERNAMA