Categories
NASIONAL

NGO dibidas berdiam diri saat kalimah Allah disalah guna bomoh 1Malaysia

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 MAC: Badan bukan kerajaan (NGO) yang sebelum ini lantang menentang penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian dibidas kerana mendiamkan diri apabila ia digunakan dalam satu ritual perbomohan yang kononnya mencari pesawat MH370 yang hilang.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata ritual yang dianggap sebagai perbuatan syirik itu harus ditolak kerana mendatangkan kesan lebih buruk kerana digunakan atas nama dan imej Islam.

“Bila kalimah Allah ini dianggap milik Melayu Islam, maka kalau orang Melayu atau Islam salah guna tak apa. Inilah masalah sikap yang tidak kena pada tempatnya yang seharusnya NGO seperti PERKASA, ISMA dan sebagainya lebih prihatin kerana ia digunakan atas nama Islam.

khalid samad white pc 011“Kalau Kristian guna kalimah Allah, mereka gunakan dalam konteks agama dia. Tak jadi masalah besar kepada kita, tetapi ini kononnya dilakukan atas nama ajaran Islam. Ini yang merosakkan imej dan akidah umat Islam itu sendiri.

“Seharusnya PERKASA dan NGO yang seumpamanya lebih prihatin terhadap masalah itu,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Katanya, umat Islam di negara ini harus bijak memelihara imej agama Islam supaya pihak lain boleh menerima dan memahami ajaran Islam sebenar.

Laporan media sebelum ini menyatakan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) gempar dengan kehadiran bomoh yang digelar ‘bomoh 1 Malaysia’ dengan melakukan ritual seperti menaiki tikar terbang dan menggunakan teropong buluh untuk mengesan pesawat MAS yang hilang.

‘Usaha’ kumpulan bomoh terbabit selain dijadikan bahan jenaka di media sosial turut menyebabkan imej negara dan rakyat Malaysia dimalukan masyarakat antarabangsa.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.