Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan pertegas jaga sensitiviti agama lain, jaga perpaduan rakyat

SHAH ALAM, 23 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah agar semua lapisan rakyat menghormati agama masing-masing dan tidak cuba menyentuh sensitiviti hingga boleh merosakkan perpaduan kaum.

“Jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka, maka Beta juga menggesa agar penganut agama selain dari Islam untuk menghormati penganut agama Islam khususnya dalam penggunaan kalimah Allah yang menjadi pegangan utama umat Islam,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Dalam kenyataan hari ini, Baginda mengulas isu kalimah Allah yang berbangkit semula susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengizinkan perkataan tersebut dipakai oleh penganut Kristian.

Sebagai ketua agama bagi Selangor, Baginda menegaskan perkataan Allah tetap dilarang digunakan oleh bukan Islam di negeri ini dalam Bible berbahasa Melayu dan juga sebarang penerbitan mereka.

“Apa gunanya Beta menjadi ketua agama Islam Selangor jika Beta gagal untuk menjamin kemuliaan kalimah Allah dan kesucian Agama Islam dari dicemari oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri,” titah Baginda lagi.

Baginda turut menyokong DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang menggesa kerajaan persekutuan merayu keputusan mahkamah tersebut.

Sultan Selangor juga menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memohon mahkamah untuk bertindak sebagai pencelah dalam rayuan tersebut dan menggesa majlis agama Islam negeri-negeri lain mengambil tindakan sama.

Pada 10 Mac lalu, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin membenarkan tiga pengisytiharan deklarasi oleh seorang wanita keturunan Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill.

Mahkamah turut memutuskan selain kalimah Allah, tiga lagi perkataan yang dibenarkan dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah Kaabah, Baitullah dan solat.

Hakim memutuskan penerbitan buku agama atau bahan keagamaan Kristian yang menggunakan empat perkataan itu bagaimanapun hendaklah disertakan dengan penafian (disclaimer) dan lambang salib pada kulit buku.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan sokong Johor gesa kerajaan rayu keputusan mahkamah isu kalimah Allah

SHAH ALAM, 23 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyokong DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar yang menggesa Kerajaan Persekutuan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kebenaran menggunakan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam.

“Beta juga berkesempatan untuk membaca titah yang dizahirkan oleh DYMM Sultan Johor dan menyokong penuh titah Sultan Johor yang meminta Kerajaan Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan mahkamah tinggi tersebut,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Dalam kenyataan media hari ini, Sultan Selangor juga menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk memohon mahkamah itu sebagai pencelah dalam rayuan tersebut.

Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, mahu Kerajaan Persekutuan meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan penganut Kristian bagi tujuan pendidikan.

Dalam kenyataan media sama, Sultan Selangor bertitah golongan bukan Islam dilarang sama sekali menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.

“Beta menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku-buku dan tulisan-tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk sekalipun yang mengandungi kalimah Allah tetap dilarang sama sekali penggunaannya di Negeri Selangor,” titah Baginda.

Dalam kenyataan akhbar hari ini, Baginda bertitah kalimah Allah itu hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi pegangan akidah umat Islam.

“Kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam,” titah Baginda lagi.

Pada 10 Mac lalu, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan tiga pengisytiharan deklarasi oleh seorang wanita keturunan Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill.

Mahkamah turut memutuskan selain kalimah Allah, tiga lagi perkataan yang dibenarkan dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah Kaabah, Baitullah dan solat.

Nor Bee dalam penghakimannya, berkata penerbitan buku agama atau bahan keagamaan Kristian yang menggunakan empat perkataan itu bagaimanapun hendaklah disertakan dengan penafian (disclaimer) dan lambang salib pada kulit buku.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kenyataan penuh DYMM Sultan Selangor berhubung kalimah Allah

Berikut kenyataan lengkap DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berhubung kes di Mahkamah Tinggi isu kalimah Allah. 

Merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di dalam kes Jill Ireland binti Lawrence Bill melawan Menteri Bagi Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia dan setelah membaca penghakiman penuh oleh Hakim Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Mac 2021 di dalam kes tersebut, Beta menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku-buku dan tulisan-tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk sekalipun yang mengandungi kalimah Allah tetap dilarang samasekali penggunaannya di Negeri Selangor. Beta mengulangi pendirian Beta bahawa kalimah Allah ialah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan. Kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam. Namun demikian sekiranya perkataan “Tuhan” digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan “God”, Beta tiada halangan atas penggunaan perkataan “Tuhan” tersebut.

Penegasan Beta ini juga adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014 dan fatwa yang diwartakan di Negeri Selangor pada 18 Februari 2010 yang menyatakan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama-agama bukan Islam yang lain. Adalah menjadi kewajipan bagi orang Islam untuk menyekat penggunaan kalimah Allah jika terdapat unsur-unsur penyalahgunaan atau penghinaan terhadap kalimah Allah tersebut. Beta menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam terutamanya umat Islam di Negeri Selangor untuk menjaga kesucian kalimah Allah pada setiap masa dan di dalam apa jua keadaan sekalipun.

Beta juga menitahkan agar rakyat Beta yang bukan beragama Islam di Negeri Selangor sentiasa akur dan mematuhi larangan penggunaan kalimah Allah sepertimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang telah diwartakan pada 7 Julai 1988. Ini termasuklah larangan penggunaan beberapa perkataan lain yang termaktub di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam ini bagi tujuan komersial dan bagi tujuan menamakan tempat-tempat perniagaan atau bangunan.

Sebagai Ketua Agama Islam Selangor, Beta tetap akan mempertahankan kesucian kalimah Allah ini kerana memelihara kesucian kalimah Allah ini adalah menjadi tuntutan agama dan tanggungjawab Beta seperti mana Firman Alah S.W.T di dalam ayat 65 surah at-Taubah yang melarang daripada mempermainkan dan mempersendakan kalimah Allah : Yang bermaksud: “Katakanlah, patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”

Apa gunanya Beta menjadi ketua Agama Islam Selangor jika Beta gagal untuk menjamin kemuliaan kalimah Allah dan kesucian Agama Islam dari dicemari oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri. Beta sentiasa menekankan agar rakyat Beta dapat menghormati kepercayaan agama masing-masing dan tidak cuba untuk menyentuh sensitiviti agama masing-masing yang boleh merosakkan perpaduan kaum di Negeri Selangor ini. Jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka maka Beta juga menggesa agar penganut agama selain dari Islam untuk menghormati penganut agama Islam khususnya dalam penggunaan kalimah Allah yang menjadi pegangan utama umat Islam.

Beta juga berkesempatan untuk membaca titah yang dizahirkan oleh DYMM Sultan Johor dan menyokong penuh titah Sultan Johor yang meminta kerajaan Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. Beta juga menitahkan agar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk memohon kepada mahkamah sebagai pihak pencelah dalam rayuan tersebut dan turut menyeru agar perkara yang sama dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Negeri lain (MAIN) bagi memelihara kemuliaan kalimah Allah dan kesucian agama Islam.

“PERTAHAN DAN SETIA KEPADA AGAMA ISLAM”
“BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT DAN NEGARA”

Sekian.

(ditandatangani)

DYMM SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ
SULTAN SELANGOR

Categories
NASIONAL

Kalimah Allah: Mahkamah Persekutuan tolak rayuan gereja

PUTRAJAYA, 23 JUN: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Gereja Katolik untuk mendapat kebenaran merayu berhubung penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald.

Keputusan itu dibuat Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang mengetuai panel tujuh hakim dalam kes itu.

Empat daripada tujuh panel hakim yang bersidang menolak permohonan gereja untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah sebelum ini yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald versi bahasa Melayu.

heraldMereka adalah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif; Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar.

Hakim lain adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zainun Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha.

Memetik laporan The Rakyat Post, Arifin berkata, Mahkamah Tinggi tidak sepatutnya membenarkan permohonan dibuat Gereja Katolik kerana keputusan Mahkamah Rayuan adalah tepat.

Sementara itu, portal Malaysiakini pula melaporkan Hakim Zainun berpendapat timbul hujah bahawa terdapat kekeliruan dalam keputusan Mahkamah Rayuan.

Katanya, ia berikutan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Zawawi Salleh bahawa “Allah” bukan sebahagian daripada fahaman Kristian.

Terdahulu, Majalah The Herald mengemukakan rayuan terhadap keputusan Menteri Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu.

Categories
NASIONAL

NGO dibidas berdiam diri saat kalimah Allah disalah guna bomoh 1Malaysia

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 MAC: Badan bukan kerajaan (NGO) yang sebelum ini lantang menentang penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian dibidas kerana mendiamkan diri apabila ia digunakan dalam satu ritual perbomohan yang kononnya mencari pesawat MH370 yang hilang.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata ritual yang dianggap sebagai perbuatan syirik itu harus ditolak kerana mendatangkan kesan lebih buruk kerana digunakan atas nama dan imej Islam.

“Bila kalimah Allah ini dianggap milik Melayu Islam, maka kalau orang Melayu atau Islam salah guna tak apa. Inilah masalah sikap yang tidak kena pada tempatnya yang seharusnya NGO seperti PERKASA, ISMA dan sebagainya lebih prihatin kerana ia digunakan atas nama Islam.

khalid samad white pc 011“Kalau Kristian guna kalimah Allah, mereka gunakan dalam konteks agama dia. Tak jadi masalah besar kepada kita, tetapi ini kononnya dilakukan atas nama ajaran Islam. Ini yang merosakkan imej dan akidah umat Islam itu sendiri.

“Seharusnya PERKASA dan NGO yang seumpamanya lebih prihatin terhadap masalah itu,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Katanya, umat Islam di negara ini harus bijak memelihara imej agama Islam supaya pihak lain boleh menerima dan memahami ajaran Islam sebenar.

Laporan media sebelum ini menyatakan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) gempar dengan kehadiran bomoh yang digelar ‘bomoh 1 Malaysia’ dengan melakukan ritual seperti menaiki tikar terbang dan menggunakan teropong buluh untuk mengesan pesawat MAS yang hilang.

‘Usaha’ kumpulan bomoh terbabit selain dijadikan bahan jenaka di media sosial turut menyebabkan imej negara dan rakyat Malaysia dimalukan masyarakat antarabangsa.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kalimah Allah: Selangor bakal hantar surat kepada Zahid

SHAH ALAM 7 JAN; Kerajaan Selangor akan menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi bagi mendapatkan penjelasan berhubung penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Sallehen Mukhyi, berkata hal itu kerana terdapat percanggahan antara Penyelesaian 10 Perkara yang diputuskan kabinet pada 2011 dengan titah Sultan Selangor yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Muslim.

Sallehen MukhyiKerajaan persekutuan sebelum pilihan raya negeri Sarawak 2011 membentangkan Penyelesaian 10 Perkara dan antara lainnya menggariskan kalimah “Allah” boleh digunakan di Malaysia Timur dan memerlukan tanda “Untuk Kristian Sahaja” di Semenanjung Malaysia.

“Pendirian kerajaan negeri adalah kita bersama titah Tuanku dalam penggunaan kalimah Allah. Tetapi yang saya nak tulis surat pada menteri, adalh menginginkan penjelasan kenapa import Bible (bahasa Melayu) dibenarkan.

“Dia (menteri) perlu jelaskan kepada semua negeri supaya tidak jadi isu politik,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu Paderi Lawrence Andrew yang mencetuskan kontroversi dengan kenyataannya mempertahankan penggunaan kalimah Allah di kalangan orang Kristian di negeri itu sebelum ini.

Katanya, pandangan beliau sebelum ini bersandarkan kepada Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kebebasan kepada semua orang untuk mengamalkan agama masing-masing.

“Setiap kumpulan agama mempunyai hak mereka untuk menguruskan hal ehwal agama mereka. Saya tidak boleh beritahu orang Islam, Hindu atau Buddha apa yang perlu mereka lakukan.

“Jangan salah anggap, inilah sahaja yang saya katakan sebelum ini. Saya seru semua ayuhlah kita bersaudara, bersama bina jambatan dan bersahabat,” katanya yang dipetik daripada Malaysia Kini.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

DYMM Sultan Selangor seru jangan jadikan kalimah Allah agenda politik

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor setelah berunding dengan Dewan di-Raja Selangor yang bersidang pada 11 November 2013, telah membuat ketetapan tegas bahawa semua rakyat di negerì Selangor khasnya, tanpa mengira agama dan keturunan perlu akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam seperti mana yang diperuntukkan di dalam Jadual kepada Seksyen 9 Bahagian 1 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan DI Kalangan Orang Islam) 1988 yang telah diwartakan pada 7 Julai 1988. Enakmen tersebut adalah terpakai kepada semua orang sama ada Islam atau bukan Islam di dalam negeri Selangor.

Selanjutnya, Baginda menegaskan bahawa semua rakyat di negeri Selangor, perlu patuh terhadap keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang telah membincangkan isu berkaitan dengan tuntutan penganut Agama Kristian terhadap penggunaan kalimah Allah. Muzakarah tersebut telah memutuskan bahawa kallmah Allah adalah kallmah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan dalam agama-agama lain. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor tersebut telah diwartakan pada 18 Februari 2010 (Sel. P.U. 6).

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor turut menegaskan bahawa sesungguhnya kedudukan agama Islam di Malaysia telah didaulatkan dalam Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan sebagaì Agama bagi Persekutuan dan mempunyai kedudukan istimewa berbanding agama-agama lain.

Berhubung dengan kes The Herald, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sekali lagi menzahirkan dengan tegas pendirian Baginda berhubung isu Nama Allah bahawa Nama Allah yang merupakan kalimah suci khusus bagi umat Islam tidak boleh sama sekali digunakan di Negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam yang Iain sebagaimana yang diperuntukkan di dalam undang-undang dan fatwa yang berkuatkuasa. Oleh yang demikian, penggunaan kallmah Allah di dalam ‘Bible’ dan juga penerbitan ‘Herald’ versi Bahasa Melayu perlu dihentikan serta merta. lni bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam di negeri ini dengan penggunaan kalimah Allah oleh penganut-penganut agama lain dalam agama mereka, kerana kalimah Allah bagi umat lslam adalah merujuk kepada Tuhan Yang Satu seperti yang terdapat di dalam Surah Al-Ikhlas.

Maka, dengan itu, Baginda menggesa semua rakyat yang duduk di negeri Selangor khasnya perlu menghormati dan mematuhi keputusan yang dibuat oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, undang-undang ser-ta keputusan secara sebulat suara oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Menteri Dalam Negeri & lapan (8) yang lain v Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur (Rayuan Sivil No: W-Ot-l-ZOlO) pada 14 Oktober 2013.

Baginda juga menasihatkan agar mana-mana pihak tidak mengambil kesempatan untuk menjadikan kalimah Allah ini sebagai agenda politik mereka kerana kalimah Allah ini ialah satu kalimah yang suci dan melibatkan akidah umat Islam.

Umat Islam digesa supaya merapatkan barisan, dan bersatu padu dalam mempertahankan kesucian kalimah Allah dan menghalang segala usaha mana-mana anasir yang tidak bertanggungjawab untuk menyalahguna dan menghina kalimah Allah yang suci ini. Adalah ditegaskan bahawa isu yang berkaitan dengan agama tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia boleh membawa implikasi buruk kepada keselamatan negara dan boleh menimbulkan ketegangan antara kaum di negara ini.

Baginda berdoa ke hadrat Allah S.W.T. agar perpaduan dan keharmonian rakyat negara ini sentiasa terpelihara dan mereka dapat hidup dengan aman damai, menghormati antara satu sama lain dan saling bertolak ansur.

Puan Hanafisah binti Jais, A.I.S.
Setiausaha
Dewan di-Raja Selangor
Istana Alam Shah, Klang
14 November 2013