Oleh: NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 17 APRIL: Setiap keputusan sesebuah organisasi atau pentadbiran kerajaan perlu dilaksana ketua eksekutif dan bukannya penasihat.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (PKR-Pelabuhan Klang) berkata, perbincangan bersama penasihat adalah amalan baik supaya dapat melihat pelbagai pilihan yang ada dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
“Perdana Menteri mengadakan perbincangan dengan penasihat tetapi keputusan dibuat beliau. Sama juga keputusan dibuat Menteri Besar.
“Saya akan terperanjat jika Perdana Menteri mengatakan keputusan ini dibuat bersama penasihat. Tidak boleh buat begitu.
“Ini adalah amalan baik. Ada perkara yang kita bincang dan selepas itu keputusan serta tanggungjawab untuk melaksanakannya terletak di tangan eksekutif dan saya tidak boleh mengatakan ia adalah keputusan penasihat saya, maka saya kena dengar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif (BN) di persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.
Abdul Khalid berkata, perbezaan atau persamaan pendapat antara ketua eksekutif dan penasihat adalah perkara biasa yang tidak perlu dilaporkan.
“Kalau anda kata keputusan ini dibuat sebab penasihat saya suruh, itu anda kena berhenti,” katanya.
Sebelum itu, dalam isu sama Abdul Khalid menjelaskan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM25,350 sebulan bagi Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor termasuk gaji kasar, caruman Kumpulan Wang Simpanan Perkerja (KWSP) dan elaun.
Katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM150,000 setahun bagi peruntukan perbelanjaan operasi pejabat sama.
“Antara 2010 hingga 2013 jumlah perbebelanjaan operasi RM433,129.97,” katanya.
-NFN-