Categories
SELANGOR

Kerajaan negeri beri tempoh hingga 21 April cari tapak baru buang sampah

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kerajaan Negeri memberi tempoh sehingga 21 April ini kepada kilang pelupusan sampah di Kampung Pasir Baru, Semenyih untuk memindahkan lokasi pembuangan ke tempat lain kerana menimbulkan rasa kurang senang penduduk setempat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata terdapat kerosakan yang berlaku dalam kilang pemprosesan sampah terbabit sehingga menyebabkan sampah terpaksa dikumpulkan di luar kilang.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan mengarahkan kilang terbabit supaya menjalankan kerja pembaikan supaya masalah itu tidak berlarutan untuk jangka masa panjang.

khalid“Kita akan meminta kilang itu meneruskan pembaikan, tetapi kita terpaksa alihkan sampah bertimbun di kilang itu ke tempat lain kerana jika tidak, ia akan mengakibatkan kerja memproses sampah memakan masa yang lama.

“Kosnya (pembaikan) akan ditanggung oleh kilang berkenaan bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj),” katanya.

Terdahulu, penduduk di Kampung Pasir Baru, Semenyih bertindak menghalang lori sampah daripada menggunakan laluan di kampung itu untuk ke sebuah kilang pelupusan yang didakwa menyebabkan masalah bau busuk dan kotor.

Difahamkan, kira-kira 100 penduduk bertindak sedemikian bermula jam 8.30 pagi hingga 6 petang yang menyebabkan pihak polis terpaksa mengawal keadaan.

Media melaporkan, lori berkenaan tidak berjaya melalui jalan terbabit dan terpaksa berpatah balik ekoran sekatan daripada penduduk.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.