Oleh: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 17 APRIL: Kerajaan Negeri kini dalam peringkat akhir menyediakan kajian penilaian bagi menangani masalah keengganan pemilik tanah menyertai program pemutihan kilang haram.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah, berkata kajian yang merangkumi pelbagai itu dijangka siap selewat-lewatnya hujung bulan ini.
Katanya, kajian dilaksanakan Department of Urban and Regional Planning, Kulliyah of Architechture and Environmental Design, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Selain itu, kita juga memberi insentif dan kelonggaran kepada pemilik kilang haram dengan memudah cara program pemutihan.
“Jika tempoh pemutihan tamat, kilang yang gagal akan diambil tindakan penguatkuasaan di bawah undang-undang pentadbir tanah dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya di sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan berhubung program pemutihan kilang haram di Selangor.
Ean Yong (Seri Kembangan-DAP) berkata, Program Pemutihan KIlang Tanpa Kebenaran dijalankan sejak tahun 2006.
“Sehingga 2013, peratusan kejayaan pelaksanaan program adalah 56.49 peratus. Dalam tempoh sama, kita berjaya memperoleh kutipan bayaran premium RM190 juta,” katanya.
-NFN-