Categories
NASIONAL

Nufam: Pastikan keselamatan pesawat 100% sebelum dibenarkan terbang

SHAH ALAM 22 APRIL: Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam digesa mengetatkan pemeriksaan rekod keselamatan semua syarikat penerbangan dan prosedur standard operasi (SOP) di Malaysia.

Kesatuan Anak-Anak Kapal Kebangsaan (Nufam) dalam satu kenyataan media berkata syarikat penerbangan perlu memastikan pemeriksaan keselamatan dijalankan 100 peratus sebelum pesawat dibenarkan berlepas dengan tidak memandang ringan perkara itu.

MH192Nufam berkata isu keselamatan tidak boleh dipandang remeh selepas beberapa insiden dalam sektor penerbangan berlaku sejak kebelakangan ini.

Katanya, walaupun insiden pesawat MH192 ke Bangalore yang terpaksa balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) yang mengalami masalah tayar pecah selamat, namun tidak dinafikan ia berkait dengan pemeriksaan keselamatan.

“Kami faham isu keselamatan boleh terdedah pada bila-bila masa, namun kejadian sebegini tidak boleh berlarutan.

“Bukan menuding jari kepada sesiapa, namun pihak yang terlibat dalam industri penerbangan perlu memandang serius isu keselamatan,” katanya.

MAS dalam satu kenyataan berkata, syarikat tersebut mengesahkan punca kerosakan adalah kerana tayar di bahagian kanan utama gear pendaratan pesawat pecah semasa berlepas.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) dikerahkan ke KLIA sejurus selepas juruterbang diarahkan berpatah balik untuk melakukan pendaratan kecemasan.

Katanya, bilangan petugas yang memeriksa keselamatan pesawat perlu ditambah oleh syarikat penerbangan, kerana bilangannya kini tidak mencukupi.

“Kami difahamkan terdapat syarikat penerbangan yang memiliki kakitangan yang tidak mencukupi, dan ia perlu ditangani segera.

“Walaupun anak kapal dan juruterbang melaksanakan tugas mereka memastikan keselamatan pesawat, petugas teknikal juga perlu memastikan perkara yang sama,” katanya.

Profesionalisme juruterbang, pembantu juruterbang dan anak kapal MH192 turut dipuji Nufam kerana tetap tenang meskipun berdepan keadaan getir semasa berada dalam pesawat.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.