Oleh: AFIX REDZUAN
SHAH ALAM, 14 APRIL: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menggesa penjawat awam supaya terus membuat pendedahan berhubung salah laku kepimpinan kerajaan terutama membabitkan pembaziran menggunakan wang rakyat.
Hal itu kerana Kerajaan Barisan Nasional (BN) menggunakan etika kerahsiaan demi melindungi salah laku yang merugikan negara dan wang rakyat.
Pengerusinya, Badrul Hisham Shaharim, berkata SAMM mengecam ugutan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa semalam yang menegaskan tidak akan berkompromi dengan penjawat awam yang membocorkan rahsia kerajaan.
“Memang benar penjawat awam perlu menjaga etika kerahsiaan demi kepentingan negara, malangnya pemimpin rejim pemerintah kini sedang menggunakan etika kerahsiaan itu demi melindungi kegiatan salah laku yang lebih merugikan negara dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media.
Ali Hamsa membuat kenyataan sebagai respon ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Biro Antarabangsa, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), Fakhrul Azman Abu Bakar supaya mengenal pasti dalang yang membocorkan dokumen berhubung jadual lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), bermula 8 April lalu.
“Jadual itu terbukti jadual yang sedang disiapkan untuk lawatan Muhyiddin dan ia penuh dengan acara membazir seperti bermain golf. Maka, selepas jadual itu terdedah awal ia ditukar.
“Bukankah yang membocorkan jadual itu menyelamatkan wang rakyat dan yakinlah jika tidak dibocorkan, pembaziran akan berlaku,” katanya.
Badrul berkata, penjawat awam yang mendedahkan salah laku pemimpin disifatkan sebagai wira rakyat dan negara walaupun berhadapan risiko selain berharap penerima maklumat dapat melindungi pemberi maklumat.
“Kepada penerima maklumat pastikan kamu juga punya tanggungjawab bagi merahsiakan dan melindungi pemberi maklumat.
“SAMM sendiri punya pengalaman membuat banyak pendedahan seperti cincin RM24.4 juta, bukan sikit ugutan dan tawaran untuk mendapatkan siapa pembocor maklumat dalam agensi kerajaan termasuk dalam pejabat Perdana Menteri sendiri, sebaliknya kami terus memegang janji melindungi pemberi maklumat,” katanya.
-NFN-