Categories
NASIONAL

FOMCA: Kerajaan digesa tarik balik semua produk Cadbury

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 26 MEI : Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), menggesa kerajaan menarik balik kesemua produk Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd berikutan dua produknya disahkan mengandungi DNA babi.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Sha’ni Abdullah berkata sebaiknya kesemua produk kilang yang sama ditarik balik dan tidak boleh dijual kepada pengguna.

cadburrybabKatanya, langkah itu perlu dilakukan kerana dikhuatiri syarikat terbabit menggunakan mesin pemprosesan yang sama untuk menghasilkan coklat bagi perisa lain.

“Penarikan sijil tersebut perlu kerana dikhuatiri syarikat itu menggunakan mesin pemprosesan yang sama untuk penghasilan coklat berperisa lain,” katanya dalam kenyataan di sini.

Selain itu, Muhammad Sha’ni berkata tindakan saman syarikat terbabit perlu diambil kerajaan atas kesalahan itu yang sangat sensitif kepada pengguna Islam.

fomca-beliblahKatanya, tindakan berkenaan penting bagi memastikan ia menjadi pengajaran kepada pengeluar makanan lain dan mengelak daripada masalah serupa daripada berulang pada masa depan.

“Syarikat ini telah melanggar Akta Makanan secara terang-terang. Oleh itu, kerajaan perlu bertindak untuk memberi peringatan supaya perkara sama tidak berulang.

“Ini juga akan menunjukkan ketegasan kerajaan dalam memastikan tidak ada syarikat lain yang bersikap sambil lewa dalam mengeluarkan makanan berstatus halal,” katanya.

Muhammad Sha’ni berkata, amat jelas para pengguna telah terpedaya dengan syarikat berkenaan yang selama ini menggunakan label halal yang diuar-uarkan kepada umum.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mendedahkan dua sampel produk coklat berjenama Cadbury iaitu Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond mengandungi DNA babi (porcine).

Ekoran itu, Jakim menggantung serta-mer­ta sijil pengesahan halal dua produk coklat Cadbury yang dikesan mengandungi bahan terbabit.

Sementara itu, Majlis Fatwa Negeri Kedah mahu umat Islam di negeri ini mengelak daripada membeli atau memakan makanan yang statusnya meragukan.

Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhammad Baderuddin Ahmad pula mahu pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melakukan ujian menyeluruh terhadap produk lain kerana dikhuatiri mengandungi DNA babi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.