Categories
NASIONAL

Kebebasan akhbar Malaysia lebih buruk daripada Kemboja, Myanmar

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 3 MEI : Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyifatkan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2014 disambut suram di negara ini ekoran Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2014 yang diterbitkan oleh Reporters Without Border (RSF) menunjukkan kedudukan Malaysia berada di kedudukan dua anak tangga terendah.

Dalam laporan itu, Malaysia berada pada paras terendah dalam sejarah iaitu 147 daripada 180 buah negara.

guan-eng-media2Pada tahun 2014, kedudukan Malaysia lebih buruk daripada Brunei (117), Thailand (130), Indonesia (130), Kemboja (132) dan Myanmar (145).

Lim berkata kebebasan akhbar adalah hak asasi manusia yang termaktub dalam Perkara 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

“Namun, banyak negara dengan kebebasan akhbar tidak hanya menikmati hak asasi manusia, tetapi juga demokrasi yang berfungsi dan kemakmuran ekonomi.

“Bukan suatu kebetulan apabila negara yang paling menghormati kebebasan akhbar adalah antara negara yang terkaya dan rakyatnya hidup dengan maruah,” katanya di Komtar hari ini sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2014.

Beliau berkata kebebasan akhbar terancam bukan sahaja oleh tindakan rejim autoritarian menutup syarikat akhbar dan menahan pemberita, malahan oleh pengamal media yang menyalahgunakan kuasa mereka dengan menyiarkan pembohongan dan enggan menghormati prinsip hak untuk menjawab.

Sebelum ini, laporan Kebebasan Media oleh The Freedom House bagi tahun 2013 juga mengkategorikan Malaysia sebagai “tidak bebas.”

Dalam laporan itu, Malaysia juga menerima “downward trend arrow” akibat “penipuan pilihan raya berleluasa dan halangan struktural untuk menghalang pembangkang daripada berkuasa secara sah.

Oleh itu, Lim berkata ia membuktikan masalah institusi degan kerajaan menjerut kebebasan akhbar untuk mengelakkan sebarang pendedahan berkenaan penyalahgunaan kuasa dan rasuah melalui undang-undang zalim seperti Akta Hasutan, Akta Penerbitan & Mesin Cetak dan Akta Rahsia Rasmi.

“Muslihat lain adalah untuk menghancurkan pembangkang dengan menyiarkan pembohongan tanpa rasa takut akan hukuman ataupun hanya semata-mata enggan memberikan mereka hak untuk menjawab,” katanya.

Beliau berpendapat tidak mudah untuk berjuang memansuhkan undang-undang zalim sebagaimana sukarnya untuk membetulkan pembohongan dan menegakkan hak untuk menjawab.

“Sementara tindakan saman fitnah diperlukan untuk membezakan pembohongan dari fakta, prasyarat kedaulatan undang-undang dan sistem kehakiman yang bebas adalah perlu bagi menghukum mereka yang memperdagangkan kepalsuan dan fitnah,” katanya.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.