Categories
NASIONAL

Kerajaan patut ikut ‘Sistem Jokowi’, jimat perbelanjaan

Oleh: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM, 6 MEI: Kerajaan patut mengikuti ‘Sistem Jokowi’ bagi mengurangkan perbelanjaan wang rakyat lantas tidak perlu melaksanakan sistem cukai GST, bermula April 2015.

Tokoh Akademik, Prof Dr Mohammad Agus Yusoff, berkata beliau tertarik kepada sistem yang diperkenalkan calon Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi ketika menjadi Gabenor di Jakarta dan bakal diperkenalkan jika menang dalam pemilihan Presiden, pada Julai ini.

Katanya, sistem Jokowi itu dilaksanakan dengan memotong separuh perbelanjaan untuk perjalanan pegawai, termasuk tiket kapal tebang, minyak dan kereta percuma dengan tingkat tertinggi sahaja mendapat kemudahan itu.

Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff“Bagus juga jika negara kita mengambil langkah sebegini dengan kemudahan kereta diberi hanya kepada Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah dan Naib Canselor sahaja. Pegawai lain tidak perlu disediakan kereta, minyak dan pemandu. Mesyuarat pula kita adakan di pejabat sahaja.

“Pegawai berpangkat besar yang pencen itu, jangan lagi kita sambung kontrak mereka,” kata Agus di laman Facebooknya.

Katanya, jika mereka masih bertenaga lagi untuk terus berkhidmat, digalakkan mereka menceburi bidang lain atau jika perkhidmatan mereka disambung lagi, maka berilah pencen selepas tempoh perkhidmatan tamat.

GST“Jika ini yang boleh kita lakukan, banyak perbelanjaan negara yang boleh dijimatkan. Bersediakah kita?,” kata Dr Agus.

Katanya, tindakan kerajaan memperkenalkan GST membawa rakyat marhaen ke jalan raya, pada 1 Mei lalu kerana mereka berasa terbeban dengan kenaikan kos hidup, walaupun hakikatnya GST akan mula berkuatkuasa 11 bulan dari sekarang.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.