Categories
SELANGOR

Kolam tadahan Taman Sentosa siap September, atasi banjir sejak 20 tahun

Oleh: NORHAYATI UMOR

KLANG, 19 JUN: Kerja pembinaan kolam tadahan di Taman Sentosa, di sini, yang dapat mengatasi masalah banjir di kawasan sekitar dijangka akan siap September ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar, berkata kolam tadahan itu mampu membawa keluar 80,000 meter padu air ke Sungai Aur yang berhampiran.

Katanya, paip besar akan disambungkan dari Sentosa ke Bandar Puteri dan Putera untuk dibawa masuk aliran air ke kolam berkenaan, manakala masalah banjir sering berlaku di kawasan sekitar membuatkan penduduk tertekan dalam isu itu, sejak 20 tahun lalu.

b3“Saya mahu projek ini siap sebelum musim hujan melanda selepas El Nino supaya penduduk tidak mengalami masalah banjir. Oleh itu, saya memahami keadaan sukar yang terpaksa dialami penduduk setiap kali banjir melanda.

“Pengalaman saya, setiap tahun kawasan ini akan dinaiki air lebih daripada setengah meter hingga dua meter,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak projek kolam tadahan terbabit, di sini, hari ini.

Projek yang dimulakan tahun 2013 itu dilaksanakan syarikat milik Gamuda dengan kos sepenuhnya ditanggung pemaju.

Pada mulanya, kawasan yang berkeluasan 15 ekar itu akan dibangunkan Rumah Kos Rendah, namun ditukar kepada projek mitigasi banjir ekoran tiada permintaan rumah kos rendah di kawasan Klang Selatan dan Utara.

Malah, rumah kos rendah yang sedia ada tidak habis dijual berdasarkan kajian keseluruhan dari Lembaga Perumahan Negeri Selangor.

“Oleh itu, saya cadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk membangunkan projek mitigasi ini selepas meneliti pelan pembangunan,” katanya.

b2Xavier berkata, sebuah Taman Rekreasi dengan pelbagai kemudahan akan dibangunkan bersebelahan selain daripada kolam tadahan dan 306 unit rumah mampu milik daripada program Rumah Selangorku akan dibina bersebelahan projek itu.

“Ia kerana rumah mampu milik lebih tinggi permintaannya berbanding rumah kos rendah. Manakala, taman rekreasi ini adalah kedua terbesar di daerah ini selepas Taman Rakyat,” katanya.

Kolam tadahan dan taman itu akan diserahkan di bawah jagaan Majlis Perbandaran Klang (MPK) selepas siap.

“Saya juga akan mencadangkan satu peruntukan khas diberikan kepada pihak terbabit untuk menyelenggara kolam tadahan ini dan kolam tadahan lain bagi mengekalkannya dalam keadaannya baik,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.