Categories
SELANGOR

Selangor tetapkan bina lebih 40% rumah mampu milik

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 19 JUN : Kerajaan Selangor menetapkan sekurang-kurangnya 30 hingga 40 peratus kediaman yang dibina di negeri ini adalah rumah mampu milik khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad, berkata pemaju yang sudah mendapat kelulusan merancang perlu membina rumah mampu milik terlebih dahulu sebelum meneruskan projek perumahan yang lain.

grafik-DNSBeliau berkata Kerajaan Negeri sudah membuat kajian berhubung rumah mampu milik dan hasilnya terbukti melalui polisi Rumah Selangorku yang akan dibina di mukim atau daerah yang mendapat permintaan tinggi.

“Itu sebab kita ambil masa yang lama untuk membuat draf polisi rumah mampu milik ini kerana kita tetapkan mengikut mukim atau daerah bagi tanah ini mesti melebihi lima atau sepuluh ekar.

“Kita tetapkan antara 30 hingga 40 peratus bagi membina Rumah Selangorku dengan harga antara RM42,000 hingga RM250,000,” katanya pada sesi penggulungan di Dewan Negeri selangor (DNS), semalam.

Dalam pada itu, Iskandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Cempaka, berkata hasrat Kerajaan Negeri kini adalah untuk mewujudkan satu badan khas khusus bagi membina rumah mampu milik.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut menetapkan semua projek rumah mampu milik dapat dibina di setiap daerah di negeri Selangor sebelum 2018.

“Perkara ini kita lakukan melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di dengan projek pertama adalah di Sungai Sering dan akan siap dibina pada Disember 2016.

“Hasrat kita ialah supaya LPHS melangkah ke hadapan dan mampu membina rumah mampu milik di setiap daerah negeri Selangor,” katanya lagi.

Iskandar juga berkata sasaran Kerajaan Negeri untuk memberi pinjaman kepada pembeli yang kurang berkemampuan juga bakal menjadi realiti setelah mendapat persetujuan daripada sebuah bank.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.