Categories
NASIONAL

Chegu Bard: “Apa agenda tersembunyi Tun M kritik Najib?”

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 OGOS: Kritikan Tun Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempunyai agenda tersendiri dan bukanlah sesuatu yang ikhlas.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata bekas perdana menteri keempat itu hanya mengambil kesempatan atas kelemahan Najib untuk memperoleh apa yang diinginkan.

www.kualalumpurpost.net_wp-content_uploads_2013_05_najib-mahathirKatanya yang lebih dikenali sebagai Chegubard, Tun Mahathir pasti akan kembali menyokong Najib selepas hajat atau permintaannya dipenuhi.

“Ini bukan kali pertama, sebelum ini pun berkali-kali Mahathir mengkritik Najib tetapi kembali senyap bila anaknya dapat habuan, terbaru dia sendiri dilantik sebagai Penasihat Proton.

“Jadi saya fikir kali ini juga sama, adalah benda yang beliau hajati, nanti dah dapat dia diamlah semula.

“Kecuali jika Najib pilih untuk tidak layan dia, Najib pula kemungkinan diturunkan sepertimana Tun Abdullah Badawi,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau dihubungi bagi mengulas kenyataan Tun Mahathir dalam blognya semalam yang menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Najib yang didakwa tidak berkesan berbanding Tun Abdullah Badawi.

Kata Tun Mahathir, beliau sanggup ‘didera’ atas kenyataannya itu demi menegur Najib yang tidak pernah ditegur penyokong kerajaan.

Sementara itu, blogger Aspan Aspian pula mengingatkan rakyat untuk berhati-hati andai Tun Mahathir menamakan nama calon menggantikan Najib.

“Beliau menarik balik sokongan terhadap Najib, tetapi jika kali ini kita mendengar cadangan siapa yang akan beliau mahukan untuk mengganti Najib.

“Rakyat mesti berfikir ratusan kali kerana mengikut apa yang kita alami dengan pilihan Mahathir, siapa yang menjadi pilihan beliau akan menjadi pemimpin yang tidak berguna lagi,” tulisnya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.