Categories
SELANGOR

Red Giants bangkit tewaskan Sime Darby 2-0

SHAH ALAM 24 OGOS: Pasukan Bola Sepak Selangor bangikt selepas dikejutkan PDRM Rabu lalu dengan menewaskan Sime Darby 2-0 di Stadium Selayang, malam tadi untuk kembali menghidupkan peluang mara ke suku akhir Piala Malaysia.

Tiga mata penting Selangor itu diraih menerusi jaringan Paulo Rangel dan Ahmad Hazwan Bakri pada separuh masa pertama.

Red GiantsDengan kemenangan itu, Selangor kini kembali melonjak ke tangga kedua Kumpulan D dengan enam mata, hanya tiga mata di belakang PDRM yang terus menguasai tangga teratas kumpulan dengan sembilan mata selepas menewaskan T-Team 4-1 di Paroi.

T-Team pula turun ke tangga ketiga apabila kekal dengan tiga mata manakala Sime Darby terus berada di kedudukan tercorot kumpulan tanpa sebarang mata selepas berakhir tiga perlawanan.

Selangor yang tewas 2-0 kepada PDRM di Stadium Shah Alam Rabu lalu turun tanpa kapten, Bunyamin Umar yang digantung dua perlawanan akibat kad merah seawal minit ke-12 pada perlawanan tersebut dan tugas itu digalas seorang lagi pemain pertahanan, Shahrom Kalam.

“Peluang terbaik Selangor hadir menerusi serangan balas pada minit ke-14, namun rembatan Rangel sedikit sipi ke kanan gawang Sime Darby ketika hanya berdepan penjaga gol lawan, Suffian Ab Rahman,” lapor Portal Persatuan Bola Sepak Selangor.

Rangel bagaimanapun tidak menunggu lama apabila berjaya memecah kebuntuan apabila sepakan percumanya terus menerjah jaring menewaskan Suffian untuk gol pertama Selangor pada minit ke-17.

Rangel terus berpeluang, kali ini pada minit ke-26 juga menerusi serangan balas dan penyerang dari Brazil itu berjaya melepasi perangkap ofsaid, namun rembatannya sempat dikuis keluar oleh Suffian.

Jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic kemudian terpaksa membuat pertukaran awal pada minit ke-31 selepas Abdul Hadi Yahya mengalami kecederaan dan Ahmad Hazwan yang tidak beraksi ketika bertemu PDRM akibat kecederaan dibawa masuk.

Bekas penyerang Harimau Muda A itu tidak menunggu lama untuk menggegar jaring Sime Darby apabila dia tenang memperdayakan pemain pertahanan lawan, Firdaus Faudzi sebelum melepaskan sepakan menewaskan Suffian untuk gol kedua Selangor pada minit ke-33.

Menyedari barisan pertahanannya semakin longgar, jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria segera melakukan dua pertukaran pada minit ke-34 dan 39 dengan membawa masuk Juzaili Samion dan Yosri Derma Raju untuk menggantikan Firdaus dan Farid Ramli.

Separuh masa kedua bersambung, Selangor hampir menambah jaringan, namun Ahmad Hazwan yang berjaya menggelecek dua pertahanan Sime Darby sekadar menyaksikan rembatannya tinggi melepasi palang ketika hanya berdepan Suffian pada minit ke-52.

Sime Darby berjaya menggegar gawang Selangor yang dikawal Farizal Marlias pada minit ke-55, namun jaringan itu dibatalkan pengadil selepas bola terkena tangan kapten Sime Darby, Fadzli Saari sebelum beliau melepaskan rembatan itu.

Peluang terus dimiliki Sime Darby pada minit ke-64 tetapi kali ini tandukan Mateo Roskam berjaya ditepis ke atas oleh Farizal.

Kedua-dua pasukan selepas itu terus buntu dan kedudukan 2-0 kekal sehingga wisel penamat.

Selangor selepas ini akan sekali lagi bertemu Sime Darby untuk perlawanan keempat Kumpulan D di Stadium Shah Alam, Rabu ini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.