Categories
SELANGOR

3 Exco PAS tiada masalah beri sumbangan besar

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 SEPT: PAS yakin mampu memberikan sumbangan maksima kepada Kerajaan Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besar baru, Mohamed Azmin Ali walaupun bilangan Exco parti itu dikurangkan kepada tiga berbanding empat orang sebelumnya.

Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, ini berikutan rekod prestasi exco-PAS sebelum ini membuktikan mereka mampu menggalas tanggungjawab diamanahkan bagi melicinkan pentadbiran Kerajaan Negeri dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

exco sel“Dua muka lama dan termasuk seorang muka baru Exco PAS mampu menyumbang semaksima mungkin dan berkerja bersama Menteri Besar yang baru dengan efektif.

“YB Iskandar dan Dr Ahmad Yunus khasnya sudah memiliki pengalaman menguruskan isu berkaitan portfolio masing-masing sebelum ini dengan prestasi yang cemerlang,” kata Mohd Khairuddin ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Semalam tiga ADUN daripada PAS merupakan di antara 10 ADUN lain mengangkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji serta pengurniaan surat cara perlantikan sebagai Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.

Tiga ADUN PAS itu, Iskandar Samad (PAS-Chempaka) sejak 2008 memegang portfolio Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Pembangunan Peneroka Bandar iaitu portfolio dianggap antara paling mencabar.

Manakala Dr Ahmad Yunus Hairi pula, pada 2012 dilantik sebagai Exco Kebudayaan Melayu, Belia dan Sukan Negeri Selangor dan kemudiannya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013, beliau diberi tanggungjawab untuk menggalas portfolio Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Selain itu beliau juga diberi amanah dalam menangani isu catuan air ketika negara dilanda kemarau panjang baru-baru ini iaitu satu tugasan yang sangat mencabar.

Manakala ADUN Taman Templer, Zaidy Abdul Talib merupakan muka baru dalam barisan Exco kali ini merupakan ADUN muda yang dijangka mampu memberi beberapa idea segar dalam pentadbiran Kerajaan Selangor kali ini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.