Categories
NASIONAL

BN jadikan Akta Hasutan ‘umpan’ dakwa pemimpin, aktivis PR

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 11 SEPT: Pemimpin serta aktivis politik Pakatan Rakyat (PR) dinasihatkan berhati-hati mengeluarkan kenyataan berhubung pelbagai isu kerana ia akan dijadikan ‘umpan’ Barisan Nasional (BN) mengenakan dakwaan di bawah Akta Hasutan.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat, berkata trend penangkapan menggunakan akta berkenaan semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini dan kebanyakan kes didakwa adalah berkisar beberapa tahun lepas sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

mansuh aktaBeliau turut percaya hasutan perkauman dicetus BN tidak akan dikenakan sebarang tindakan, malah yakin ia hanya dipandang sepi pihak berkuasa.

“Rakyat menyaksikan hasutan perkauman dicetus begitu hebat BN sebelum PRU-13 lepas, namun saya yakin semuanya dipandang sepi.

“Mereka hanya berminat kepada kenyataan atau individu yang mahu mengganggu-gugat sebarang perancangan BN,” katanya di laman sosial Facebook.

Suhaizan berkata penyalahgunaan akta ini juga akan berterusan demi menyelamatkan survival politik Umno dan BN.

Sementara itu, di Twitter, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, berkata senario berlaku hari ini mengingatkannya kepada penahanan secara beramai-ramai di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2001 sehingga 2002 dan yang terkini Akta Hasutan.

Katanya BN mungkin tersilap langkah apabila berpendapat penggunaan akta berkenaan akan ‘membunuh’ pihak tertentu daripada terus bersuara mengkritik kepimpinan kerajaan.

“Ia tidak lagi akan berkesan satu hari hari nanti apabila rakyat sudah tidak takut sekiranya BN menggunakan akta ini ke atas mereka.

“Teruskan (mendakwa) kerana apabila seorang ditangkap, sepuluh lagi akan muncul dan kita akan terus lawan,” katanya.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.