Categories
NASIONAL

Anwar: Ikut saranan PR tak perlu potong subsidi, jimat RM20 bilion setahun

Oleh : AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 13 OKT : Negara mampu menjimatkan hampir RM20 bilion setahun, disamping mengurangkan defisit sehingga 1.5 peratus jika amalan rasuah dan boros yang diamalkan pentadbiran BN dapat dihapuskan, menurut kajian Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus, dan pengurangan subsidi bahan bakar tidak mendesak sekiranya amalan rasuah dan kebocoran ditangani.

Beliau berkata laporan Ketua Audit Negara juga menunjukkan pembaziran demi pembaziran dilakukan BN, namun ketirisan masih berleluasa sehingga hari ini.

anwar“PR saban tahun menegur pihak kerajaan akan amalan boros dan rasuah yang diamalkan mereka, namun teguran ini ibarat mencurah air ke daun keladi.

“Saban tahun kita terus menyaksikan pembaziran demi pembaziran dalam laporan Ketua Audit negara, malah jika diteliti teguran Ketua Audit Negara juga menzahirkan pembaziran dan ketirisan yang berterusan,” katanya ketika membahaskan Bajet 2015 Kerajan Persekutuan di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar juga turut mendedahkan hutang kerajaan persekutuan untuk tahun 2013 kini mencecah RM 569 bilion atau 53 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta anggaran kehilangan dana terkumpul berjumlah RM 1.2 trillion sejak tahun 2002 hingga 2011.

Malah katanya perangkaan Persepsi Indeks Rasuah meletakkan Malaysia sebagai negara ke-53 dilihat paling rasuah daripada 177 negara.

“Laporan terkini Asia Pacific Fraud Survey Report series 2013 bertarikh Oktober 2014 daripada Ernst and Young mengatakan Malaysia adalah negara paling rasuah di Asia Pasifik selepas China dan lebih gemar mengambil jalan pintas untuk mencapai sasaran ekonomi, akibat peningkatan persaingan dan keadaan ekonomi yang mencengkam.

“Malaysia juga dilihat terperangkap dengan ekonomi nilai rendah dan kini terpaksa pula bersaing dengan negara-negara baru yang struktur kosnya lebih rendah.

“Akibatnya kadar peningkatan pendapatan rakyat jauh ketinggalan berbanding kadar kenaikan kos sara hidup,” katanya lagi.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.