Categories
SELANGOR

Azmin: “Baru 3 minggu, BN dah 50 tahun gagal”

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 OKT: Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin meminta diberikan peluang untuk membuktikan kebolehannya melaksanakan tugas selaku Menteri Besar Selangor memandangkan baru menggalas tanggungjawab itu selama tiga minggu.

Berbanding 50 tahun Selangor di bawah pentadbiran Umno-BN beliau berkata, parti berkenaan tidak mampu mengangkat kedudukan negeri berkenaan berada dalam kedudukan sekarang,

azmin1“Saya menyambut baik, Insya Allah ini satu tanggungjawab.

“Saya telah nyatakan tugas ini adalah satu tanggungjawab dan bukan keistimewaan yang akan saya galas sebaik mungkin.

“Berikan saya peluang membentangkan Belanjawan 2015 Negeri Selangor Insya Allah malahan saya akan tumpukan salah satu teras utama dalam belanjawan Negeri Selangor ialah soal pendidikan. Itu saya beri jaminan.

“Jadi beri peluang kepada saya. Baru tiga minggu. Umno 50 tahun tidak boleh buat apa-apa,” katanya ketika sesi perbahasan Bajet 2015 di Dewan Rakyat semalam.

Kenyataan itu dibuat bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar yang mempersoalkan kebolehan Adun Bukit Antarabangsa sama ada mampu meletakkan kedudukan Universiti Selangor (Unisel) pada kedudukan terbaik dalam soal pendidikan.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Selangor mempersoalkan kedudukan kemasukan pelaburan di Selangor yang kini berada di kedudukan ke-5 sehingga Mei 2014 memandangkan dua tahun sebelum itu berada di kedudukan dua teratas.

Mohamed Azmin sebelum itu dengan tenang menepis kenyataan sinis Noh Omar yang mendakwa beliau menjadi Menteri Besar Selangor diatas linangan air mata orang lain.

Sebaliknya beliau berkata, Barisan Nasional sebenarnya yang menangis selepas kemelut jawatan nombor satu Selangor itu berjaya diselesaikan.

“Selangor Alhamdulillah kita selesaikan cara baik pelantikan Menteri Besar Baru.

“Tiada siapa yang menangis, yang menangis ni belah sana (BN),” jawabnya sekaligus menggamatkan Dewan Rakyat semalam.

Noh turut mengucapkan ‘tahniah’ kepada Mohamed Azmin yang telah dilantik selaku Menteri Besar Selangor yang baru bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim namun disambut dengan sorakan ‘cemburu’ oleh Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan.

Mohamed Azmin dilantik secara rasmi menjadi Menteri Besar Selangor ke-15 pada 23 September lalu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.