Categories
NASIONAL

Delegasi PKR jelajah Australia dedah kerosakan politik BN

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 OKT: Delegasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini berada di Australia bagi memberi maklum balas kepada ahli-ahli Parlimen Australia mengenai perkembangan politik terkini di Malaysia.

Ahli Parlimen Pandan yang juga Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata maklum balas itu antaranya tertumpu kepada perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pendakwaan terhadap pelbagai aktivis di bawah Akta Hasutan.

rafizi-TI-01Katanya, selain ke parlimen Australia, delegasi itu juga akan menyertai siri forum terbuka di bandar utama Australia anjuran sekumpulan mahasiswa Malaysia, ‘Malaysian Progressive’.

“Saya yakin rangka lawatan kerja ini akan memberi gambaran sebenar mengenai tindakan Barisan Nasional (BN) yang menggunakan undang-undang untuk menekan lawan politik.

“Ia juga kena pada masanya bila lebih ramai mahasiswa Malaysia di luar negara semakin berani tampil ke hadapan untuk membawa diskusi-diskusi berhubung perkembangan politik tanahair dari kaca mata yang lebih progresif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain Rafizi, delegasi turut disertai Exco Selangor yang juga ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad, Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru), Wong Chen (Ahli Parlimen Kelana Jaya), Lee Chean Chung (ADUN Semambu) dan Melissa Sasidaran (EXCO Angkatan Muda).

Siri forum akan diadakan di Melbourne (18 Oktober 2014), Adelaide (19 Oktober 2014), Perth (20 Oktober 2014), Canberra (21 Oktober 2014) dan Sydney (22 Oktober 2014).

Kata Rafizi, selain perjumpaan bersama mahasiswa dan rakyat Malaysia, delegasi juga akan membuat perjumpaan dengan ahli politik dan badan hak asasi manusia di sana.

“Rangka lawatan kerja seperti ini akan diteruskan ke negara lain agar pimpinan BN faham bahawa tindakan mereka menggunakan undang-undang untuk menyekat ruang demokratik dan mengekang pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim ditempelak di peringkat dunia,” tegas Rafizi.

Antara lain, delegasi akan membuat lawatan kerja ke Kementerian Luar Australia, diikuti dengan kenyataan media bersama dengan Senator Nick Xenophon di Parlimen Australia pada 21 Oktober nanti.

Selain itu, delegasi PKR juga akan berdialog dengan ahli-ahli Parlimen dan senator-senator Australia sebelum memberi keterangan mengenai perkembangan terkini di Malaysia ke Jawatankuasa Pilihan (Select Committee) Hal Ehwal Luar dan Hak Asasi Manusia.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.