Categories
SELANGOR

Belanjawan 2015: Hasrat MB tumpu isu perumahan disambut baik

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 OKT: Hasrat Datuk Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengutamakan isu perumahan dalam Belanjawan 2015 disambut baik berikutan harga hartanah di negeri itu semakin tinggi dan menyukarkan golongan berpendapatan rendah sederhana.

Mantan Pengarah Bank Negara Malaysia, Dr Rosli Yaakob berkata, langkah itu dapat membantu rakyat negeri itu menghadapi tekanan peningkatan kos sara hidup yang semakin melonjak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

rosli“Kos sara yang ditanggung rakyat semakin tinggi bukan sahaja disebabkan harga barangan keperluan semakin tinggi tetapi rumah yang merupakan keperluan asasi juga meningkat semakin tinggi berbanding pendapatan majoriti rakyatnya di bawah RM5,000 sebulan.

“Belanjawan Selangor perlu ambil berat hal ini dan langkah Menteri Besar untuk fokus dalam isu ini satu langkah yang wajar dan sangat dialu-alukan,” kata Dr Rosli.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri perlu menumpukan usaha membangunkan rumah-rumah kediaman mampu milik berharga bawah RM150,000 bagi menampung keperluan rakyat negeri itu.

“Perkara ini bukan mudah kerana nilai tanah semakin tinggi, harga bahan binaan dan kos buruh juga tinggi. Maka sebab ini Kerajaan Negeri tidak boleh mengharapkan pemaju swasta sahaja,” kata beliau lagi.

Selain isu perumahan, Dr Rosli juga mencadangkan agar Mohamed Azmin memberi tumpuan mengatasi isu kekurangan bekalan air sewaktu kemarau panjang melanda dan meningkatkan prasarana awam di kawasan luar bandar.

“Kerajaan Negeri perlu fikirkan idea bagaimana mengelakkan kekurangan bekalan air di masa akan datang dengan lebih berkesan sekiranya berlaku kemarau yang panjang seperti sebelum ini dan manakala jalan di kampung-kampung juga perlu diperbesarkan, tidak terlalu kecil hingga dua kereta tak boleh berselisih,” ujar beliau lagi.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.