Categories
SELANGOR

Belanjawan 2015: Industri perfileman, teater, lukisan dijangka dapat peruntukan besar

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 OKT: Penggiat industri seni di Selangor dijangka turut mendapat perhatian Kerajaan Selangor dalam Belanjawan 2015 yang akan dibentangkan nanti.

Exco Pembangunan Generasi Baru, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata antara cabang seni yang dijangka mendapat perhatian dalam Belanjawan 2015 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali November nanti, termasuk industri perfileman, teater dan seni lukisan.

Seni“Kita nak mengembangkan dan memperkukuhkan aktiviti seni di Selangor yang sebelum ini dah ada tapi masih boleh dikembangkan lagi.

“Insya-Allah saya harap belanjawan dibentangkan nanti memberi peruntukan yang agak besar dan mampu untuk kita gunakan sebagai penggalakan aktiviti kesenian dan kebudayaan di Selangor.

“Kita akan memberikan ruang kepada semua bidang tetapi pada masa sama kita tumpukan pada kesenian moden seperti filem, teater, lukisan dan sebagainya,” kata Amirudin ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Jelas beliau peruntukan ini mampu menyemarakkan industri seni sebagai satu pengisian pembangunan di Selangor.

Tambah Amirudin, sebelum ini satu agensi dinamakan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) sudah ditubuhkan bagi memberikan tumpuan terhadap kesenian dan kebudayaan tradisi di negeri itu.

“Pada masa sama kita dah tubuhkan agensi seperti PADAT yang merupakan agensi yang menumpukan pengukuhan dan penggalakan adat istiadat tradisi warisan khususnya Melayu.

“Saya akan berkerjasama dengan Dr Ahmad Yunus (Hairi) untuk memperkukuhkan seni kebudayaan dan warisan tradisi ini,” kata Amirudin lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.