Categories
SELANGOR

Pekawanis rancang lebih banyak program dekati masyarakat

Oleh: LIZAWATI MADFA

AMPANG, 19 OKT: Isteri Menteri Besar, Shamsidar Taharin berhasrat untuk turun padang mendekati dan membantu rakyat Selangor melalui pertubuhan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS).

Untuk itu, katanya, beliau akan mengambil pandangan semua pihak dalam merangka program-program yang bermanfaat untuk dilaksanakan pada tahun hadapan.

Program PEKAWANIS (5)Katanya, objektif setiap program pastinya bagi memberi peluang kepada setiap rakyat di Selangor menerima manfaat kekayaan negeri terkaya ini.

“Sehingga kini, banyak juga cadangan yang bagus-bagus yang sesuai untuk dilaksanakan, bagaimanapun tunggu hingga saya bertugas secara rasmi barulah diuar-uarkan.

“Antara cadangan yang menarik seperti ziarah medik yang dikemukakan Exco Dr Daroyah Alwi yang saya fikir mampu memberi peluang kepada semua kaum memperoleh nikmat kewangan Selangor melalui program kesihatan,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan Deepavali di Dewan Datuk Ahmad Razali, di sini yang turut dihadiri Daroyah dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamarudin.

Beliau juga tanpa kekok turun pentas dan bergerak dari satu meja ke satu meja lain bagi menyampaikan hamper dan wang sumbangan kepada 60 penerima kaum India daripada DUN Bukit Antarabangsa dan Gombak Setia.

Para penerima dilihat senang dan selesa dengan kemesraan Shamsidar yang terlebih dahulu memulakan ucapannya dalam bahasa Tamil.

Kata Shamsidar, kata-kata itu sekadar ucapan perayaan agar mereka yang menyambut Deepavali gembira di hari perayaan.

“Apa khabar semua, saya Shamsidar, isteri kepada Menteri Besar Selangor, mengucapkan Selamat Deepavali kepada semua yang berbangsa India.

“Saya juga mengharapkan bahawa Deepavali ini adalah Deepavali terbaik buat semua,” ucapnya dalam Bahasa Tamil disambut tepukan gemuruh hadirin.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.