Categories
AGENDA NASIONAL

Perkeso bayar pampasan lebih RM11 juta kepada pekerja positif Covid-19

PENDANG, 26 SEPT: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah membayar pampasan lebih RM11.19 juta kepada pekerja yang dijangkiti Covid-19 di tempat kerja melibatkan 15,036 kes setakat 18 Sept lepas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata daripada jumlah itu lebih RM10 juta dibayar kepada pekerja tempatan membabitkan 13,170 kes, manakala lebih RM1 juta dibayar kepada pekerja asing membabitkan 1,866 kes.

“Selain itu, untuk faedah pengurusan jenazah yang melibatkan kes kematian disebabkan Covid-19 pula, jumlah bayarannya ialah lebih RM3.5 juta bagi 1,792 kes yang membabitkan pekerja tempatan.

Bagi kes kematian melibatkan pekerja asing pula, Perkeso telah membuat bayaran pampasan berjumlah RM3,500 untuk pengurusan jenazah yang membabitkan dua kes,” katanya dalam sidang media selepas meninjau Program Khidmat Masyarakat Imunisasi Covid-19 Daerah Pendang di sini, hari ini.

Program anjuran Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) bersama Pejabat Kesihatan Daerah Pendang itu turut dihadiri Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Mengulas mengenai program itu, Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang berkata ia adalah usaha kementeriannya menerusi MNKKP untuk meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan dewasa di daerah ini yang masih merekodkan kadar vaksinasi rendah.

“Kita menyedari fakta seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) bahawa kadar vaksinasi (lengkap dua dos) dalam kalangan penduduk dewasa yang layak mendapat suntikan vaksin di daerah ini adalah masih rendah, iaitu pada kadar 51.16 peratus bersamaan 38,115 orang (setakat semalam).

Atas kesedaran itu, kita membantu mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan penduduk dengan mengambil pendekatan turun ke lapangan masuk ke dalam kampung bagi membantu meningkatkan pendaftaran dan kesedaran kepentingan vaksinasi dalam membentuk imunisasi kelompok,” katanya.

Awang berkata setakat ini, program khidmat masyarakat itu telah dilaksanakan di beberapa kawasan di Daerah Pendang iaitu di Kampung Bukit Tegur, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Lahar Tunjung, KEDA Asam Jawa dan KEDA Tanjung Setul.

“Turut dirancang adalah program seumpama ini yang akan dilaksanakan di beberapa daerah di negeri Kedah yang kadar vaksinasinya masih lagi rendah seperti Sik dan Baling…usaha sebegini akan diteruskan malahan akan disebar luaskan sebagai usaha untuk mempercepatkan peralihan (negeri Kedah) kepada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pampasan RM180,000 dan kediaman RM250,000 buat 980 keluarga tersenyum lebar

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 11 FEB: Seramai 980 keluarga bekas peneroka Bukit Cherakah di sini kini boleh menarik nafas lega apabila pampasan tunai berjumlah RM180,000 dan kediaman bernilai RM180,000 yang dijanjikan pemaju asal pada 1998 akhirnya berada dalam genggaman mereka.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak Rumah Terbengkalai Rancangan Tanah Revolusi Hijau Bukit Cherakah 2 dan 3, Omar Ali Basha, 66 tahun, berkata sinar penyelesaian bagi masalah berlarutan selama 20 tahun ini semakin kelihatan.

Katanya ia apabila kepimpinan Kerajaan Negeri sekali lagi bertukar tangan kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada tahun 2014.

“Alhamdulillah apabila Kerajaan Negeri bertukar tangan, kita mengorak langkah mencari jalan penyelesaian dan pada 2015 saya dan rakan menyerahkan memorandum kepada Dato’ Menteri Besar yang ada hari ini untuk membantu kami.

“Akhirnya pemaju sekarang setuju mengambilalih projek terbengkalai ini dan kami amat berterima kasih kepada Dato’ Seri kerana beliau memang bersungguh-sungguh membantu menyelesaikan masalah ini dan sendiri kerap mengambil tahu bagaimana kemajuan isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pemilikan Rumah Antara Peserta Dengan Pemaju Paragon Pinnacle Sdn Bhd di Stadium Tertutup Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Jelasnya, sebelum ini pemaju telah melunaskan bayaran akhir pampasan berjumlah RM180,000 kepada kesemua peserta terbabit.

Saad Tamsir, 82 tahun, pula berkata, beliau bersyukur kerana keprihatinan Kerajaan Negeri membantu menyelesaikan isu projek terbengkalai ini.

“Terlalu lama saya menunggu daripada sihat hinggalah sekarang dah berkerusi roda tetapi syukur akhirnya tercapai juga,” katanya.

Sementara itu, Norhayati Md Noh, 42 tahun, memberitahu beliau terharu dan sayu apabila ibunya tidak dapat menyertai majlis ini kerana sudah terlalu uzur.

“Semasa perjanjian awal dahulu saya masih kanak-kanak hingusan, ibu saya masih sihat tetapi sekarang dah tak mampu berjalan sebab itulah saya mewakili mereka.

“Bersyukur ada, terkilan pun ada kerana perjanjian ini daripada saya kecil sekarang dah tua baru selesai,” katanya.

Jelasnya, selain ibunya yang sudah uzur, terdapat ramai peserta asal yang sudah meninggal dunia.

Suami beliau, Mohd Zamri Abd Hamid, 51 tahun, menambah kejayaan ini diperolehi apabila adanya campur tangan dan komitmen yang tinggi daripada Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah ini.

“Saya tak pasti bagaimana kerajaan dahulu tetapi kerajaan sekarang serius membantu menyelesaikan isu ini kerana dengan adanya campur tangan politik seperti ini yang sungguh-sungguh membantu barulah masalah ini boleh diselesaikan,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Mahkamah putuskan hanya bayar RM120,000 pada penduduk bantah Datum Jelatek

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 FEB: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui anak syarikatnya Datum Corporation International menawarkan harga tertinggi kepada pemilik empat blok rumah pangsa dan kedai bagi memberi laluan projek Datum Jelatek dijalankan.

Pengurus Besar PKNS,  Azlan Md Alifiah berkata, ia terbukti apabila 14 daripada 192 pemilik yang tidak berpuas hati dengan tawaran itu membawa isu terbabit ke mahkamah dan hanya menerima RM120,000 sahaja seperti yang diputuskan akhir 2013.

datumjelatek02“Kita dah labur kira-kira RM130 juta hingga RM150 juta. Dari segi pampasan sahaja, kita dah bayar RM25 juta. Semua dapat pampasan termasuk mereka yang bawa Datum Corp ke mahkamah.

“Hakikatnya, penilai profesional menilai rumah itu cuma RM100,000 untuk rumah dan kedai (RM130,000). Tetapi kita bayar RM250,000 hingga RM300,000 bagi rumah dan lot kedai RM450,000 hingga RM500,000.

“Apabila mereka membawa Datum Corp atau PKNS ke mahkamah, keputusannya mereka cuma dapat pampasan RM120,000. Jumlah ini lebih rendah daripada apa yang kita tawarkan sebelum itu,” katanya kepada Selangor Kini di Ibu Pejabat PKNS, di sini, semalam.

Interview Khas PKNS isu Datum jelatek (1)Azlan yang juga Pengerusi Datum Corporation International berkata, pampasan itu ditetapkan berdasarkan keluasan dan jenis unit masing-masing.

Pemilik rumah pangsa dua bilik dengan keluasan 550 kaki persegi mendapat pampasan RM250,000 dan bagi rumah pangsa tiga bilik dengan keluasan 705 kaki persegi pula menerima RM300,000.

Sementara itu, pemilik kedai berkeluasan 550 kaki persegi pula menerima pampasan RM450,000 dan RM550,000 untuk keluasan 705 kaki persegi.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Isu pampasan RM2.6 juta, MMKN tak terlibat

Oleh : AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 7 JAN : Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad menegaskan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak terlibat dengan keputusan bayaran pampasan RM2.6 juta kepada lapan pembantu mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau yang juga menjawat sebagai Exco dibawah pentadbiran lalu berkata, keputusan itu dibuat sepenuhnya pihak atasan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) yang masih berkhidmat sebelum Abdul Khalid meletak jawatan.

“Ada dua perkara yang berlaku iaitu keputusan berkenaan dibuat sepenuhnya MBI, manakala kertas (keputusan) diserahkan kepada Exco untuk makluman dan perakuan.

MB-FAEKAH“Exco tidak terlibat langsung, sebaliknya hanya dimaklumkan,” katanya ketika mengulas perkara itu selepas mengadakan lawatan tapak di Jalan Pandan Indah, di sini, semalam.

Beliau berkata, jika proses yang dijalankan berhubung bayaran pampasan meragukan, sebaiknya semua bekas kakitangan berkenaan memulangkan wang itu seperti yang diarahkan.

“Dato’ Menteri Besar arahkan supaya ia dipulangkan semula. Kalau prosesnya tidak betul, maka mereka kena ikut arahan.

“Saya bergantung kepada audit, kalau betul, betullah. Kalau salah, kena pulangkan semula,” katanya.

Terdahulu, MBI mengesahkan surat tuntutan pemulangan semula pampasan kepada lapan bekas kakitangan MBI yang juga pembantu Abdul Khalid RM2.6 juta sudah dihantar, pada 5 Januari lalu.

yb iskandar 1Semua lapan bekas kakitangan MBI itu diminta memulangkan semula wang pampasan selepas siasatan mendapati terdapat keraguan pada tatacara dan peraturan kewangan.

Antara lapan individu yang diarah untuk memulangkan wang pampasan itu adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Hussin yang dikatakan menerima jumlah terbesa iaitu RM700,000.

Setiausaha Akhbar Abdul Khalid, Arfa’eza Abdul Aziz pula menerima pampasan RM358,000 dan RM55,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan, manakala Setiausaha Politik, Mustapa Mohd Talib menerima RM265,000.

Pembantunya yang lain didakwa dibayar antara RM97,000 dan RM230,000 masing-masing sebagai pampasan dan antara RM18,000 dan RM69,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan mereka.

Sebelum ini, Abdul Khalid menyatakan pemberian pampasan kepada lapan bekas pembantunya itu dibuat mengikut undang-undang dan secara telus serta profesional.

Categories
SELANGOR

Selcat bincang isu pampasan RM2.6 juta selepas MBI serah notis

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 JAN: Kontroversi pampasan RM2.6 juta melibatkan lapan bekas pembantu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan dibincangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) selepas menerima notis daripada Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Ahli Jawatankuasa Selcat, Sulaiman Razak berkata, jawatankuasa itu juga membuat keputusan untuk memberi tempoh 14 hari kepada pihak terbabit sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Selcat bermesyuarat semalam dan membuat keputusan untuk menunggu notis dari MBI yang ketika ini memberi tempoh 14 hari bagi pemulangan semula pampasan itu.

SELCAT“Bagaimanapun, tindakan akan diambil jika tiada maklum balas. Kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Semalam, lapan bekas pegawai MBI terbabit menerima surat tuntutan bagi pemulangan semula wang pampasan itu.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, sebelum ini meminta mereka memulangkan semula wang pampasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat dikeluarkan kerana mendakwa pembayaran itu dibuat tanpa mengikut prosedur dan melanggar peraturan kewangan.

Ia membabitkan lebihan pembayaran kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Husin dan bekas Setiausaha Politik, Mustapha Mohd Talib.

Laporan audit mendapati kelulusan pembayaran pampasan sebanyak 30 peratus daripada gaji terakhir didarabkan dengan jumlah bulan berkhidmat dan persetujuan bagi melaksanakan skim pemberhentian secara sukarela (VSS) tidak mengikut  prosedur betul.

Mohamed Azmin turut memberi jaminan bahawa semua lapan individu itu akan tetap dibayar pampasan mengikut jumlah sepatutnya.

sulaiman abdul razakSulaiman yang juga Adun Permatang secara peribadi berkata, tindakan terbabit wajar dilakukan jika pengurusan baharu MBI mendapati terdapat keraguan membabitkan jumlah pampasan itu.

“Apa juga tindakan yang dilakukan bekas pengurusan MBI terdahulu, saya yakin mengikut prosedur dari segi peraturan kewangan.

“Namun, peraturan pembayaran mesti mengikut formula tertentu yang mungkin menggunakan formula berbeza. Kerajaan Negeri yang baru wajar menyemak semula kerana berhak berbuat demikian,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

ADUN setuju potong gaji, beza pandangan pampasan 8 bekas kakitangan MBI

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 DIS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) bersetuju dengan tindakan Kerajaan Selangor mengurangkan gaji Menteri Besar, Exco, Speaker dan Timbalan Speaker yang diluluskan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), semalam.

hasbullah gombak setia 16 mei 01Hasbullah Mohd Ridzwan (PAS-Gombak Setia) berkata, beliau secara asas dan prinsipnya menyokong Rang Undang-Undang Elaun dan Persaraan Anggota Pentadbiran yang dikemukakan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

“Kita kira ia sesuatu yang sesuai dan wajar kerana sebelum ini kenaikan itu mendapat pandangan dan komen negatif.

“Saya kira, tindakan yang dilakukan tepat pada masanya,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Kamarol Zaki Abdul MalikBagi Kamarol Zaki Abdul Malik (BN-Sungai Air Tawar), walaupun beliau berpandangan gaji ADUN ketika ini adalah rendah, namun tetap bersetuju dengan pemotongan gaji jawatan tertinggi Kerajaan Negeri.

“Perkara itu sudah dibincangkan sejak persidangan lalu tetapi bagi saya penurunan berkenaan sesuai dengan keadaan semasa,” katanya.

Menyentuh soal pampasan bernilai RM2.6 juta yang diagihkan kepada lapan bekas kakitangan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Hasbullah berharap kes itu disiasat dengan sebaiknya di peringkat pentadbiran Dato’ Menteri Besar yang baru.

“Saya kira ia perlu disiasat dengan saksama dan sewajarnya kerana perkara ini amat mengejutkan pelbagai pihak berkenaan justifikasi dan ganjaran sebesar itu.

“Kita beri ruang siasatan dan jika perlu diambil tindakan, maka perlu dilakukan sewajarnya,” katanya.

Namun, pandangan berbeza dikemukakan Kamarol Zaki yang beranggapan Kerajaan Negeri kini tidak telus dan memberikan kenyataan berbeza berkenaan soal integriti dan ketelusan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum krisis Menteri Besar berlaku.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Khusrin: Isu pembayaran pampasan RM2.6 juta disiasat

SHAH ALAM 18 NOV: Tindakan akan diambil jika pembayaran pampasan atau ‘golden handshake’ bernilai RM2.6 juta kepada lapan pembantu mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mematuhi prosedur ditetapkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi yang juga salah seorang daripada tiga ahli lembaga pengarah MBI berkata, pihaknya sudah memulakan siastaan berhubung aduan terhadap pembayaran itu.

MBIDua lagi ahli lembaga pengarah MBI adalah Menteri Besar dan Pegawai Kewangan Negeri.

“Kami akan siasat dan ambil tindakan,” katanya dipetik MStar ketika mengulas berkenaan kekecohan terhadap pembayaran pampasan itu.

Pembayaran itu dibuat di penghujung tempoh perkhidmatan Abdul Khalid sebelum Mohamed Azmin Ali mengambil alih jawatan menteri besar.

Sebelum ini, isu pemulangan dana bernilai RM2.5 juta kepada MBI itu hanya akan dibincangkan semula dalam mesyuarat pemerbadanan itu sebelum tindakan selanjutnya akan diputuskan, pada 20 November ini.

Perkara itu dimaklumkan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali selepas merasmikan program Bantuan Anak Masuk Sekolah, baru-baru ini.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Chubadak: Harapan musnah kerana tiada keadilan

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Harapan penduduk Kampung Chubadak, di sini, untuk mendapat pembelaan sewajarnya dilihat tipis kerana apa berlaku setakat ini dianggap tidak adil terhadap mereka.

Aktivis masyarakat, Nashita Md Noor, 48, berkata keadaan yang berlaku dianggap zalim kerana perbincangan tidak dijalankan secara adil dan saksama.

Nasshita“Ketika penduduk mengadakan perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian dengan pihak berkuasa, pihak satu lagi mengambil kesempatan untuk merobohkan rumah mereka. Di mana adilnya?

“Tiada apa lagi nak dipertahankan kerana duit pampasan juga tidak dapat. Masih ada harapankah?,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau berkata, seharusnya pampasan diberikan kepada penduduk seperti pasangan Abdul Halim Hamid, 76, dan Wahidah Md Noor, 72, supaya perancangan boleh dibuat apabila rumah mereka dirobohkan.

Namun, katanya, berlaku sebaliknya apabila rumah dirobohkan dan pampasan tidak diberikan.

“Kita akan membantu apa terdaya. Pembinaan khemah untuk Abdul Halim dan Wahidah adalah tanda untuk terus bertahan selagi pemaju tidak memenuhi apa sepatutnya yang menjadi hak penduduk,” katanya yang mendakwa rumah PPRT ditawarkan kepada penduduk tidak sesuai.

Interview penduduk Kg. Chubadak (ASRI)Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Wilayah Persekutuan, Dr Mohd Ali Jamil, berkata hak masyarakat Melayu untuk menduduki kawasan bandar dinafikan kerajaan yang memerintah.

“Proses hutan belantara menjadi kampung, orang Melayu duduk tetapi proses kampung menjadi bandar, orang Melayu tiada. Ini ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Katanya, kerajaan BN mengabaikan golongan marhaen dengan kebanyakan tanah milik orang Melayu diambil bagi memberi laluan kepada projek pembangunan demi membela nasib golongan mewah dan berkepentingan.

“Sedangkan golongan miskin dan kurang berkemampuan tidak mempunyai tempat tinggal. Bila ini berlaku, orang Melayu terutama golongan muda akan terpinggir.

“Bila dibangunkan projek dan bangunan besar, anak Melayu tak mampu nak membeli dan memiliki. Maka, orang Melayu menjadi pelarian di negara sendiri,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

PKR gesa Mahkamah Tuntutan Tribunal kaji semula tuntutan

Tribunal Tuntutan

PETALING JAYA 4 OKT :  PKR menggesa kepada Mahkamah Tribunal Tuntutan untuk mengkaji semula keputusan tuntutan pengguna yang mengalami kerugian akibat masalah bekalan air berpunca daripada Syabas.

Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamarudin berkata, beliau akan membawa isu ini ke Parlimen berkenaan bidang tugas Mahkamah Tribunal Tribunal yang memerlukan penjelasan.

“Sekiranya kes air seperti ini bukan bidang kuasa mahkamah tribunal maka ia bidang kuasa siapa?, ” soal Zuraidah dalam sidang medianya di Ibu Pejabat PKR di sini.

Jelas Zuraidah, Mahkamah Tribunal Tuntutan perlu dirombak jika ada polisi yang tidak memihak kepada pengguna.

“Sekarang ini berlaku kekerapan gangguan bekalan air di kawasan Gombak dan Ampang.

“Syabas perlu bekerja efisien mempertingkatkan kerja mereka dan tidak boleh melepaskan diri tanpa memberikan pampasan kepada pengguna,” kata Zuraidah.

Sebelum ini, Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna memutuskan tribunal itu tidak mempunyai kuasa bagi mendengar perbicaraan tuntutan kerugian akibat masalah bekalan air terhadap Syabas.

Sebaliknya pihak penuntut gantirugi dinasihat agar memfailkan tuntutan di Mahkamah Sivil.