Categories
NASIONAL

FOMCA: Harga minyak naik undang kadar kemalangan meningkat

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 OKT: Kenaikan harga bahan api diumumkan Kerajaan Pusat berisiko tinggi meningkatkan kadar kemalangan maut jalan raya.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, ia ekoran pengguna yang mahu berjimat menukar kenderaan daripada kereta menggunakan motosikal.

harga-minyak-naik-20-sen“Kita maklum penggunaan motosikal berisiko tinggi terbabit dalam kemalangan. Kita bimbang jika ramai menggunakan motosikal statistik kemalangan makin lama makin bertambah,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pengguna juga mempunyai pilihan terhad berikutan kekurangan kemudahan pengangkutan awam.

“Ramai terpaksa menggunakan kenderaan sendiri kerana tiadanya pengangkutan awam di kawasan tempat tinggal atau tempat kerja. Ada kalanya masa juga agak lama bagi menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Beliau berkata rakyat berpendapatan rendah dan sederhana adalah golongan majoriti yang akan dibebani masalah itu secara tidak langsung memberi kesan kepada kenaikan harga barangan lain.

Katanya, peniaga kebiasaannya akan menaikan harga barangan jualan apabila berlaku kenaikan harga bahan bakar berkenaan.

“Ini kerana sebahagian besar barangan jualan membabitkan penggunaan pengangkutan untuk tujuan pasaran,” katanya.

Harga petrol RON95 dan diesel dinaikkan ekoran keputusan kerajaan menurunkan subsidi minyak dan diesel sebanyak 20 sen.

Berikutan itu harga petrol RON95 dinaikkan kepada RM2.30 seliter daripada RM2.10 dan diesel RM2.20 daripada RM2.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.