Categories
NASIONAL

Gelandangan tidak dapat diatasi kerana Kerajaan tidak faham isu

Oleh NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 OKT: Kerajaan tidak mampu menangani isu gelandangan dengan berkesan kerana gagal memahami isu sebenar yang dihadapi golongan itu.

Malah, pihak berkuasa masih menggunakan Akta Papa 1977 yang dianggap tidak lagi releven ketika ini, menurut aktivis dan peguam dalam forum bertajuk ‘Gelandangan: Isu, penyelesaian dan masa depan’ anjuran Akademi Belia di Kuala Lumpur, semalam.

Peguam dan koordinator Lawyers for Liberty (LFL), Michelle Yesudas berkata Akta Papa 1977 perlu dimansuhka kerana tidak membela nasib golongan gelandangan.

Katanya, golongan gelandangan dianggap seperti penjenayah kerana definisi akta itu menetapkan sesiapa sahaja berpeleseran di jalanan, berpakaian compang-camping dan tiada tempat tinggal ditangkap.

gelandangan

“Dari segi definisi, pelaksanaan dan penggunaan secara diskriminasi dalam akta itu sama seperti Akta Hasutan dan ISA (Akta Keselamatan dalam Negeri).

“Gelandangan dianggap penjenayah hanya sebab mereka tidak mampu menyara diri.

“Adakah pihak berkuasa boleh menangkap seseorang yang tidak mempunyai keupayaan untuk menyara diri dan adakah ia jalan terbaik untuk bawa pergi seseorang itu tanpa pilihan?” katanya.

Michelle berkata peruntukan dalam akta itu juga tidak munasabah kerana bersifat menekan dan memaksa tanpa sukarela.

“Sebab itu dari segi definisi pun kita tidak setuju dan pelaksanaan juga tidak bersetuju,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan penggunaan akta itu yang tidak mencerminkan keadaan sebenar struktur ekonomi semasa negara ketika ini.

Sementara itu, koordinator Dapur Jalanan, Hadi Khalid pula berpendapat isu lebih besar yang perlu dilihat adalah faktor kemiskinan khususnya selepas peralihan ekonomi negara daripada pertanian kepada perindustrian.

“Isu sebenar di sini adalah kemiskinan. Selagi ia tidak ditangani, perkara ini tidak akan selesai.

“Semasa kami bertemu dengan kementerian, kami bangkitkan mengenai isu kemiskinan iaitu mereka yang tidak mampu membeli rumah dan tidak mampu mendapat kerja tanpa pendapatan tetap,” katanya.

Hadi berkata, isu tangkapan dan pengusiran gelandangan sudah berlaku sejak 1980an di mana ketika berlaku peralihan dasar ekonomi negara.

“Isu ini timbul sejak 1980an, perpindahan warga luar bandar ini bermula semasa dasar ekonomi negara yang bertukar daripada pertanian kepada perindustrian.

“Kebanyakan warga yang tinggal di luar bandar dahulunya digalakkan dan dijanjikan rumah serta peluang pekerjaan untuk menetap di kota.

“Jadi pada awalnya mereka diberikan status peneroka bandar tapi selepas 1980an bermulanya operasi membersihkan setinggan ini,” katanya.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.