Categories
SELANGOR

PKNS sedia realisasikan tumpuan perumahan Belanjawan Selangor 2015

Oleh AFIX REDZUAN

KELANA JAYA, 7 OKT: Selaku peneraju pembangunan di negeri ini, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersedia merealisasikan tumpuan pembangunan perumahan dalam Belanjawan Selangor 2015.

Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah berkata penawaran lebih banyak kediaman mampu milik kepada rakyat Selangor merupakan langkah yang wajar kerana terdapat keperluan pada masa sekarang.

pkns“Kita amat mengalu-alukan belanjawan yang menitikberatkan tentang pertumbuhan terutama dari segi penawaran rumah mampu milik.

“Kita amat mengalu-alukan dan jika ada insentif lebih daripada Kerajaan Negeri untuk PKNS melaksanakannya. Ini adalah satu cara bagi kita untuk menambah bilangan rumah mampu milik kepada rakyat Selangor terutamanya di lokasi strategik,” katanya di majlis ibadah korban 2014 di Kelana Jaya.

Azlan juga berpendapat syarikat-syarikat milik kerajaan perlu memainkan peranan membangunkan fokus mampu milik. Apa yang pasti katanya, lokasi pembinaan kediaman mampu milik mestilah strategik terutamanya dari segi penyediaan prasarana kepada penduduk.

Azlan berkata PKNS menerapkan konsep ‘Mesra OKU’ dalam projek pembinaan bagi memudahkan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) memiliki kediaman sendiri.

“PKNS dalam dua tahun ini, 2015 dan 2016 mencadangkan untuk melancarkan tidak kurang 2,000 unit rumah di Kota Puteri dan Science Park 2.

“Kita rasakan di Kota Puteri untuk tahun ini sahaja kita telah lancarkan 300 hingga 400 unit rumah mampu milik. Tahun depan beberapa unit lagi dan tahun 2016 hingga mencapai jumlah 2,000 unit,” katanya.

Azlan menjelaskan PKNS mempunyai belanjawan tersendiri dan akan menampung subsidi 30,000 hingga 100,000 seunit.

PKNS juga bakal mengadakan majlis penyerahan kunci 124 unit rumah di Bangi, disamping rancangan untuk peroleh kebenaran merancang projek perumahan di Kota Puteri.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.