Categories
SELANGOR

Selangor cakna rakyat terdesak miliki kediaman sendiri

Oleh Naeem Raffi

SHAH ALAM, 26 OKT: Kerajaan Selangor komited membina lebih banyak Rumah Mampu Milik (RMM) bagi memenuhi keperluan rakyat memiliki kediaman sendiri pada harga berpatutan, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Iskandar Abdul Samad.

Ini kerana Kerajaan Selangor cakna akan kemampuan rakyat negara ini memiliki rumah sendiri paling rendah berbanding negara lain.

Katanya, sehingga kini Kerajaan Negeri telah mengariskan beberapa langkah memastikan hasrat itu tercapai.

iskandar“Antara syarat yang kita dikenakan kepada mana-mana pemaju yang ingin membangunkan projek diatas tanah seluas 10 ekar atau 5 ekar di kawasan Lembah Klang, mereka diwajibkan menyediakan 30% hingga 40% dari projek itu untuk RMM (Rumah Selangorku) pada harga RM250 dan ke bawah.

“Tujuannya sudah tentu untuk memastikan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah,” katanya kepada Selangor Kini.

Untuk rekod, dalam satu kajian dijalankan ahli akademik dan institusi kajian tempatan serta antarabangsa menunjukkan sebanyak 85.1 peratus golongan pertengahan turut tidak mampu memiliki rumah berharga RM200,000 ke atas yang ditawarkan skim Perumahan Rakyat 1 Malaysia (Prima) berbanding hanya 15.1 peratus sahaja golongan sama yang berkemampuan.

Manakala kajian kemampuan kredit, sebanyak 75.9 peratus rakyat tidak mampu membeli rumah berharga RM250,000 ke atas sedangkan nilai hartanah di kawasan bandar dan pinggir bandar semakin melambung tinggi.

Dalam kajian demografi pula, perbandingan kemampuan memiliki rumah di Malaysia, Singapura, Jepun dan Amerika Syarikat berdasarkan gaji median (gaji pertengahan) juga menunjukkan harga rumah di Malaysia paling kurang mampu dibeli.

“Pendapatan rakyat negara ini tidak sering dengan peningkatan kos, barang makin mahal tetapi gaji masih ditakuk lama. Sebab itu Kerajaan Pusat tiada mekanisme yang tepat untuk digunakan bagi memastikan harga rumah murah.

“Di Selangor, Kerajaan Negeri menyuntik dana yang tinggi menggunakan rizab tunai bagi melaksanakan RMM sekaligus memastikan rakyat terbanyak memiliki rumah sendiri,” jelasnya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor mensasarkan pembinaan 40,000 RMM dalam tempoh lima tahun akan datang (2013-2018) melalui program Rumah Selangorku.

Kerajaan Selangor juga telah memperuntukkan RM100 juta menggunakan rizab tunai negeri bagi melaksanakan projek ini seperti yang telah diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2014.

Projek Perumahan Mampu Milik atau dikenali sebagai Rumah Selangorku dibina menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan dapat memberi peluang kepada rakyat Selangor terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah kediaman.

Bagi Fasa 1 projek RMM Selangorku di bina di Sungai Sering di Hulu Klang yang melibatkan 2, 496 unit dan telah pun dimulakan dan berjalan lancar.

Untuk projek yang seterusnya, LPHS akan memulakan rangka kerja pembinaan 1,800 unit rumah mampu milik di Shah Alam yang melibatkan kawasan Seksyen U1 Glenmarie dan Seksyen 35 yang melibatkan tanah seluas 24.7ekar.

Mengikut perancangan, pembinaan Rumah Sealgorku ini akan siap pada 2018.

Leave a Reply

Your email address will not be published.