Categories
SELANGOR

‘Selfie’ terakhir lima sekeluarga viral di laman sosial

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 OKT: Beberapa gambar kenangan ‘selfie’ terakhir mangsa lima sekeluarga kemalangan di semalam menjadi viral di laman sosial.

Antaranya di laman PenMerah [dot] com yang memuat naik status berkongsi gambar berkenaan dan dikongsi lebih 3, 000 setakat pagi ini dengan lebih 60, 000 ‘likes’.

Selain itu, laman Sukan Star TV yang memaparkan gambar sama turut dikongsi lebih 3, 000 dengan jumlah ‘likes’ melebihi 30, 000.

Terdapat banyak komen yang mengaitkan perbuatan selfie itu mengundang bahaya hingga menyebabkan kemalangan maut. Bagaimanapun, tindakan mengambil gambar secara selfie bukanlah penyebab kepada kemalangan berlaku.

Pihak berkuasa mengesahkan kemalangan berlaku disebabkan sebuah treler di lorong paling kanan gagal dikawal hingga melanggar treler di hadapan seterusnya merempuh enam kereta lain termasuk kereta mangsa.

Kemalangan di kilometer 256 Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke arah utara selepas Terowong Menora itu berlaku pada pukul 11.30 pagi semalam membabitkan dua treler dan enam buah kereta.

Mangsa Norhayati Wook, 50, dan Siti Yuslianis Roslan, 20, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala tiga adik-beradik lain mengalami cedera ringan.

Pemandu kereta, Muhammad Yusriman, 23, ketika ditemui pemberita di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tidak putus-putus melafazkan “saya minta maaf mak” dengan nada hiba selepas merasa serba salah atas kejadian itu.

Beliau dan abangnya Muhammad Yusrizal, 25, mengalami cedera ringan manakala adik mereka Siti Yusliana, 12, mengalami luka di bahagian tumit kaki.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Ghuzlan Salleh berkata pemandu treler berusia 40-an kini ditahan untuk siasatan lanjut serta ujian air kencing dan darah.

Kejadian berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.