Categories
SELANGOR

Sukan layar dijangka terima peruntukan RM50,000

Oleh: AFIX REDZUAN

MORIB, 10 OKT: Sukan perahu layar dijangka menerima peruntukan RM50,000 bago pembangunan memandangkan ia mempamerkan kecemerlangan dalam banyak kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata jumlah peruntukan itu akan dilihat semula selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2015.

Majlis penutup Kejohanan Perahu Layar 2014 (5)Katanya, untuk pembangunan sukan negeri, dijangkakan RM800,000 bakal diperuntukkan dan jumlah berkenaan dijangka bertambah untuk tahun hadapan.

“Penumpuan kepada infrastruktur sukan seperti jeti untuk pelantar pasukan perahu layar berlatih dan sedikit pembaikan di ruang pejabat serta ruang penyimpanan peralatan mereka.

“Selepas pembentangan bajet kita susun balik kesemuanya,” katanya kepada media sempena lawatan beliau ke Pusat Sukan Layar, Batu Laut, di sini hari ini.

Menurut Adun Batu Caves ini, Persatuan Sukan Layar mengemukakan cadangan itu sejak 2008 bagi pembangunan infrastruktur sukan.

Selain itu katanya, Kerajaan Negeri juga akan mengambil inisiatif membantu atlet dalam pendidikan mahupun bantuan kerjaya selepas bersara.

Ini termasuk penyediaan peluang mereka mencurahkan ilmu dalam bidang sukan kepada atlet pelapis bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan.

Turut hadir sama, Pengarah Eksekutif MSN Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor, Adun Tanjung Sepat, Ir Mohd Haslin Hassan dan Presiden Persatuan Sukan Layar Negeri Selangor, Abdul Aziz Abdullah.

Dalam majlis sama, Amirudin turut menyerahkan sumbangan bernilai RM1,000 kepada pemenang pingat emas acara karate-do Sukan Asia Incheon 2014, Syakila Salni Jefry Krisnan @ Krisnamurthy.

Sementara, atlet sukan perahu layar Ahmad Syukri Abd Aziz dan Mohamad Faizal Norizan yang turut menyumbang emas di Incheon tidak dapat hadir sama dan hanya diwakili ahli keluarga masing-masing kerana sedang menyertai pertandingan di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Syakila, 22, yang ditemui ketika sesi sidang media melahirkan kegembiraan dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Selangor di atas sumbangan yang diberikan kepadanya.

Anak kedua daripada lima adik beradik ini berjaya merangkul pingat emas dalam acara karate-do kategori bawah 61 Kilogram di Sukan Asia Incheon, Korea Selatan.

Atlet berasal daripada Klang ini memaklumkan beliau kini sedang membuat persiapan bagi kejohanan World Championship di Jerman dan Asia Champions Cup yang di jadualkan berlangsung November ini.

Beliau sebelum ini pernah mewakili Negeri Selangor dalam Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2012 di Pahang dan berjaya merangkul pingat emas dalam acara sama.

Menyentuh soal kecederaan hamstring yang dialaminya beliau berkata setakat ini telah pulih sebanyak 50 peratus dan dijangka pulih sepenuhnya minggu hadapan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.