Categories
SELANGOR

Usaha henti laksana pindaan RTPJ1, RTPJ2 peroleh undi majoriti (kemaskini)

Bajet MBPJ

PETALING JAYA, 1 OKT: Majoriti ahli-ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menggesa usaha pindaaan Rancangan Tempatan Petaling Jaya (RTPJ) 1 dan 2 dihentikan sehingga maklum-balas daripada rakyat diberi perhatian sewajarnya.

Ahli Majlis Zon 8, Ir. Lee Suet Sen di satu sidang media semalam berkata maklum-balas yang diterima berhubung isu setempat yang memerlukan perhatian menuntut pindaan RTPJ 1 & 2 diubah supaya mencerminkan keperluan setempat.

“Kita telah mendapat maklum-balas daripada penduduk Petaling Jaya yang menuntut pindaan-pindaan tertentu (dalam RTPJ 1 & 2) dikaji semula dan dimantapkan,” tegas Suet Sen.

Turut bersama di sidang media itu adalah Ahli Majlis Zon 24 Halimey Abu Bakar, Cynthia Manonmani Michael Gabriel (Zon 12), YM Raja Fairuz Raja Mazlan (Zon 17), Tang Fuie Koh ( Zon 13), Ang Ming Ern (Zon 11), Tony Cheong Siew Thong (Zon 16), Jeyaseelan T. Anthony (Zon 19), Oon Chong Ling (Zon 20) dan Teh Chi Chang (Zon 5).

“Langkah ini perlu kerana kita mahu mengemukakan rancangan tempatan yang ampuh untuk warga Petaling Jaya, tetapi kita dapati beberapa butiran penting tidak diluluskan oleh Majlis, atau tidak mendapat maklum-balas secukupnya daripada ahli-ahli Majlis.

“Contohnya MBPJ meluluskan plot ratio 1 hingga 4 dibawah keadaan optimum, tetapi ada cadangan meningkatkan maksima plot ratio kepada 6 sekitar kawasan Pembangunan Berteraskan Transit (TOD). Ini bermakna kepadatan pembangunan akan menjadi sangat tinggi dan memberi kesan kepada kehidupan warga Petaling Jaya,” jelas Cynthia.

“Kita tidak menentang pembangunan,” sambung Chi Chang, “tetapi Petaling Jaya ialah bandar yang sangat tua. Adakah utiliti (air, elektrik, telekom) dan jalanraya kita mampu menangani 50 peratus pembangunan yang lebih besar? Bagaimana pula dengan pengangkutan awam?”

Mereka membentangkan lima usul untuk diambil tindakan segera. Lima usul itu adalah:

1. Majlis mengambil keputusan untuk menarik-balik dan membatalkan cadangan pindaan RTPJ1 & 2 secara keseluruhannya atau sebahagian daripadanya.

2. Majlis mengambil keputusan untuk membatalkan keputusannya untuk melaksanakan pindaan RTPJ1 & 2 pada mesyuarat jawatankuasa mampan majlis bilangan 1/2014 bertarikh 25 Februari 2014 dan mesyuarat penuh majlis pada 26 Februari 2014.

3. Majlis mengambil keputusan untuk menarik-balik cadangan-cadangan pindaan terkini untuk mengeluarkan: a) garis panduan perlaksanaan dalam RTPJ1, dan b) kelas kegunaan tanah dan garis panduan kawalan perancangan dalam RTPJ2.

4) Satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji arahan dibawah Seksyen 16(2) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 daripada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan cadangan pindaan RT, berunding dengan Kerajaan Negeri, mengkaji semula cadangan pindaan terkini dan membuat cadangan pindaan terbaharu untuk dikemukakan kepada Kerajaan Negeri dan pihak awam.

5) Perkara-perkara lain berkaitan cadangan RTPJ1 & 2.

“Kita memperoleh 13 undi menyokong berbanding 4 undi membantah. Maka keputusan Majlis ialah usul ini akan digerakkan, namun Datuk Bandar kita (Datin Paduka Alinah Ahmad) tidak bersetuju dan akan merujuk perkara ini kepada Menteri Besar baharu (Mohamed Azmin Ali),” jelas Suet Sen.

Ahli-ahli Majlis berkenaan berharap jawatankuasa khas dapat diwujudkan serta-merta supaya kajian semula dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan untuk dibentangkan ke hadapan Majlis dan Kerajaan Negeri.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.