Categories
SELANGOR

MBPJ serah isu RTPJ kepada Menteri Besar

PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak mempunyai kuasa membatalkan Rancangan Tempatan Petaling Jaya (RTPJ) 1 dan RTPJ 2 kerana terletak dibawah Seksyen 16 (2) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Datuk Bandar Datin Paduka Alinah Ahmad berkata langkah seterusnya adalah menghantar dokumen berkenaan kepada Datuk Menteri Besar Mohamed Azmin Ali untuk tindakan.

MBPJ Alinah Serah Tugas 02“Arahan Kerajaan Negeri ialah kita perlu bawa kepada Kerajaan Negeri sekiranya kita hendak batalkan RTPJ1 dan RTPJ2. Atas arahan itu saya gunakan Seksyen 10(7), yang mana semua orang bersetuju tetapi saya tidak bersetuju (membatalkan RTPJ1 dan RTPJ2), untuk bawa perkara ini ke Y.A.B Menteri Besar dan beliau akan buat keputusan.

“Saya akan menemui beliau sekiranya saya dipanggil,” jelas Alinah.

Beliau berkata demikian mengulas perkembangan dari sidang media oleh ahli-ahli Majlis Petaling Jaya semalam.

Ahli Majlis Zon 8, Ir. Lee Suet Sen berkata majoriti ahli-ahli majlis menyokong usul untuk menarik-balik dan membatalkan cadangan pindaan RTPJ1 dan RTPJ2 secara keseluruhannya atau sebahagian daripadanya.

Mereka juga mahu usaha pindaan dihentikan sehingga maklum-balas daripada rakyat diberi perhatian sewajarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen dan Adun dalam bandaraya Petaling Jaya menyokong keputusan ahli-ahli Majlis itu.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka menegaskan cadangan penubuhan jawatankuasa khas untuk meneliti semua cadangan ditubuh dan mengambil-kira maklum-balas dari orang awam.

“Kami terkejut dengan cadangan untuk membuang garis panduan kawal perancangan (planning control) daripada RTPJ1 dan 2. Kawalan ini dibuat dengan input terperinci daripada orang awam dan mengekalkan kestabilan perancangan bandar dalam Petaling Jaya.

“Keputusan untuk menaikkan plot ratio maksimum daripada 4 kepada 6 di tujuh kawasan Pembangunan Berteraskan Transit (TOD) sekitar stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) perlu dikaji semula ekoran impak keatas keadaan lalulintas sedia-ada, kemudahan awam dan kualiti kehidupan di Petaling Jaya.

“Cadangan untuk membolehkan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) merentasi kawasan perumahan padat dan komersil di Mutiara Damansara dan Damansara Perdana mengundang lebih dari seribu bantahan. Cadangan lebuhraya melalui kawasan-kawasan itu perlu dikaji semula.

“Kita juga perhatikan keseluruhan tanah Institut Penyelidihan Getah (RRI) seluas 1600 ekar dicadang sebagai kawasan pembangunan campur tanpa pelan tata atur terperinci. Rakyat berhak melihat cadangan kepenggunaan tanah, plot ratio, kepadatan, kemudahan awam dan sebagainya daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kita juga perhatikan cadangan untuk menukar guna tanah Filem Negara di Seksyen 12 daripada fungsi institusi awam kepada komersil dengan plot ratio 6. Tanah itu sewajarnya dipulangkan semula kepada Kerajaan Negeri atau PBT untuk kegunaan awam walaupun Kerajaan Persetujuan mahu memindahkan Filem Negara ke kawasan lain.

Kenyataan bersama itu ditandangani Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian, Tony Pua (Petaling Jaya Utara), Sivarasa Rasiah (Subang), Wong Chen (Kelana Jaya), dan Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran, Haniza Talha (Taman Medan), Lau Weng San (Kampung Tunku), Yeo Bee Yin (Damansara Utama), Elizabeth Wong (Bukit Lanjan) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia).

Categories
SELANGOR

Usaha henti laksana pindaan RTPJ1, RTPJ2 peroleh undi majoriti (kemaskini)

Bajet MBPJ

PETALING JAYA, 1 OKT: Majoriti ahli-ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menggesa usaha pindaaan Rancangan Tempatan Petaling Jaya (RTPJ) 1 dan 2 dihentikan sehingga maklum-balas daripada rakyat diberi perhatian sewajarnya.

Ahli Majlis Zon 8, Ir. Lee Suet Sen di satu sidang media semalam berkata maklum-balas yang diterima berhubung isu setempat yang memerlukan perhatian menuntut pindaan RTPJ 1 & 2 diubah supaya mencerminkan keperluan setempat.

“Kita telah mendapat maklum-balas daripada penduduk Petaling Jaya yang menuntut pindaan-pindaan tertentu (dalam RTPJ 1 & 2) dikaji semula dan dimantapkan,” tegas Suet Sen.

Turut bersama di sidang media itu adalah Ahli Majlis Zon 24 Halimey Abu Bakar, Cynthia Manonmani Michael Gabriel (Zon 12), YM Raja Fairuz Raja Mazlan (Zon 17), Tang Fuie Koh ( Zon 13), Ang Ming Ern (Zon 11), Tony Cheong Siew Thong (Zon 16), Jeyaseelan T. Anthony (Zon 19), Oon Chong Ling (Zon 20) dan Teh Chi Chang (Zon 5).

“Langkah ini perlu kerana kita mahu mengemukakan rancangan tempatan yang ampuh untuk warga Petaling Jaya, tetapi kita dapati beberapa butiran penting tidak diluluskan oleh Majlis, atau tidak mendapat maklum-balas secukupnya daripada ahli-ahli Majlis.

“Contohnya MBPJ meluluskan plot ratio 1 hingga 4 dibawah keadaan optimum, tetapi ada cadangan meningkatkan maksima plot ratio kepada 6 sekitar kawasan Pembangunan Berteraskan Transit (TOD). Ini bermakna kepadatan pembangunan akan menjadi sangat tinggi dan memberi kesan kepada kehidupan warga Petaling Jaya,” jelas Cynthia.

“Kita tidak menentang pembangunan,” sambung Chi Chang, “tetapi Petaling Jaya ialah bandar yang sangat tua. Adakah utiliti (air, elektrik, telekom) dan jalanraya kita mampu menangani 50 peratus pembangunan yang lebih besar? Bagaimana pula dengan pengangkutan awam?”

Mereka membentangkan lima usul untuk diambil tindakan segera. Lima usul itu adalah:

1. Majlis mengambil keputusan untuk menarik-balik dan membatalkan cadangan pindaan RTPJ1 & 2 secara keseluruhannya atau sebahagian daripadanya.

2. Majlis mengambil keputusan untuk membatalkan keputusannya untuk melaksanakan pindaan RTPJ1 & 2 pada mesyuarat jawatankuasa mampan majlis bilangan 1/2014 bertarikh 25 Februari 2014 dan mesyuarat penuh majlis pada 26 Februari 2014.

3. Majlis mengambil keputusan untuk menarik-balik cadangan-cadangan pindaan terkini untuk mengeluarkan: a) garis panduan perlaksanaan dalam RTPJ1, dan b) kelas kegunaan tanah dan garis panduan kawalan perancangan dalam RTPJ2.

4) Satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji arahan dibawah Seksyen 16(2) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 daripada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan cadangan pindaan RT, berunding dengan Kerajaan Negeri, mengkaji semula cadangan pindaan terkini dan membuat cadangan pindaan terbaharu untuk dikemukakan kepada Kerajaan Negeri dan pihak awam.

5) Perkara-perkara lain berkaitan cadangan RTPJ1 & 2.

“Kita memperoleh 13 undi menyokong berbanding 4 undi membantah. Maka keputusan Majlis ialah usul ini akan digerakkan, namun Datuk Bandar kita (Datin Paduka Alinah Ahmad) tidak bersetuju dan akan merujuk perkara ini kepada Menteri Besar baharu (Mohamed Azmin Ali),” jelas Suet Sen.

Ahli-ahli Majlis berkenaan berharap jawatankuasa khas dapat diwujudkan serta-merta supaya kajian semula dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan untuk dibentangkan ke hadapan Majlis dan Kerajaan Negeri.

HM

Categories
SELANGOR

Penyata Pendengaran Awam SELCAT Diedarkan Isnin

SHAH ALAM, 21 NOV : Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Teng Chang Kim memaklumkan, lima laporan penyata Jawatankuasa Pilihan Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) telah dibentangkan di dalam sidang dewan kali ini.

Menurutnya, laporan tersebut berkenaan rumusan yang dibuat Jawatankuasa Selcat selepas semua pendengaran awam sepanjang tahun ini.

Beliau turut memaklumkan, laporan penuh dalam bentuk buku masih belum sempat dicetak dan hanya akan diedarkan pada Isnin hadapan.

“Untuk makluman, Jawatankuasa Selcat telah membentangkan lima penyata berkaitan pendengaran awam di dewan (DNS) (pada Isnin lalu),” katanya ketika sidang media.

Lima penyata tersebut adalah tentang Pembangunan Tanah Padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Kelana Jaya dan Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2), dan siasatan ke atas Urusniaga Perlombongan Pasir Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Selain itu, terdapat juga penyata mengenai pendengaran berkaitan perolehan penggunaan dan pulangan pinjaman RM 90.3 juta oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor Agro Industry Sdn Bhd (PAISB) daripada Kementerian Kewangan, kejadian banjir Hulu Langat dan Klang Selatan, dan Laporan audit 2010 pengurusan kewangan Yayasan Selangor.

Categories
SELANGOR

PKNS Terima Keputusan MBPJ Tolak Bangunkan Kompleks Sukan SS7

 

SHAH ALAM, 14 JUN : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerima keputusan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang menolak permohonan PKNS untuk membangunkan semula Kompleks Sukan SS7, Kelana Jaya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Setempat (OSC).

Perkara itu dinyatakan Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada TV Selangor semalam.

?PKNS menyokong keputusan Majlis untuk membenarkan jawatankuasa audit dan tadbir urus korporat bebas bagi meneliti percanggahan pada Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2),? katanya.

Beliau berkata, PKNS akan memberi kerjasama penuh kepada jawatankuasa berkenaan dan Lembaga Rayuan Selangor yang akan menjalankan pendengaran bebas berhubung isu tersebut.

Menurutnya lagi, Ahli Perbadanan PKNS akan membuat keputusan muktamad berhubung projek pembangunan ini selepas jawatankuasa bebas mengemukakan hasil siasatan mereka.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan percanggahan pada kedua-dua rancangan tempatan yang dikemukakan MBPJ dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) adalah sesuatu yang serius dan akan memberi kesan kepada PKNS serta pemaju-pemaju lain.

?Kami memohon MBPJ dan Lembaga Rayuan Selangor untuk menyiasat perkara ini dengan teliti dan membuat pengumuman terbuka hasil daripada siasatan berkenaan. PKNS juga akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri dan pihak yang berkaitan,? ujarnya.

Penduduk SS 7, Kelana Jaya sebelum ini membantah pembangunan di atas padang kompleks sukan berkenaan kerana ia bukan sahaja sudah digazetkan sebagai kawasan lapang, malah mendakwa akan turut menyebabkan masalah kesesakan trafik di kawasan berkenaan jika hasrat itu diteruskan.

Sementara itu, MBPJ dalam satu kenyataan lain memaklumkan tidak akan memberi kebenaran kepada PKNS untuk meneruskan pembangunan di atas tapak padang kompleks sukannya di Kelana Jaya.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman berkata, ia adalah susulan hasil mesyuarat OSC yang bersidang baru-baru ini, sebulat suara menolak permohonan pembangunan bercampur yang dihantar PKNS pada 8 Jun lalu.