Categories
SELANGOR

FAS tak mungkir janji pembayaran Paulo Rangel

SHAH ALAM 17 NOV: PERSATUAN Bolasepak Selangor (FAS) menafikan sekeras-kerasnya ia mungkir janji dalam isu pembayaran tandatangan atau ‘signing on fees’ untuk kontrak baru seperti yang didakwa Paulo Rangel dalam laman sosial Instagram dan Twitter.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Abdul Mokhtar Ahmad dalam kenyataan media berkata, Rangel menerima lebih RM1 juta tidak termasuk bonus dari awal musim sehingga hari ini.

aksi memukau paulo rangel no9.. ketika saingan piala sultan selangor 2014Rangel dianggarkan menerima RM1 juta untuk gaji dan signing on fees, tidak termasuk bonus untuk kemenangan.

“FAS menjelaskan kontrak Rangel dilanjutkan untuk dua tahun lagi sehingga 2016 dengan bayaran tandatangan atau signing on fees berjumlah RM300,000. Kontrak baru beliau bermula 1 Disember 2014.

“Kami sudah menjelaskan wang pendahuluan sejumlah RM100,000 pada 21 Oktober lalu iaitu sebelum dia berlepas pulang ke Brazil untuk bercuti. Rangel dijadual kembali ke Selangor pada 20 November nanti,” kata Abdul Mohhtar.

Katanya, Bbaki RM200,000 akan dilunaskan pada hujung bulan November sebelum kontrak barunya bermula secara rasmi pada 1 Disember, 2014.

“FAS telah memberi wang pendahuluan RM100,000 sebagai signing on fees meskipun kontrak barunya hanya berkuat kuasa pada Disember.

“FAS mendedahkan selain itu, Rangel turut menerima RM50,000 sebagai bonus atas kejayaan memenangi Kasut Emas selaku penjaring terbanyak Liga Super,” katanya.

Katanya untuk kontrak sepanjang 2014, Rangel juga menerima anggaran yang sama sebagai signing on fees. Jadi tidak timbul isu FAS tidak membayar atau berhutang dengan Rangel.

“FAS menegaskan gaji pemain dan pegawai sudahpun dilunaskan, dengan gaji bulan Oktober akan dibayar dalam minggu depan.

“FAS turut menegaskan tiket penerbangan dua hala pergi dan balik buat Rangel dan keluarganya ditanggung oleh persatuan itu.

“Ini jelas membuktikan kami melayan pemain kami dengan profesional,” katanya.

Mengenai sebarang bentuk tindakan yang bakal dikenakan terhadap Rangel atas tuduhan tidak berasas yang dilemparkan kepada pengurusan, FAS akan membincangkan isu itu sejurus kepulangannya dari Brazil.

Buat sementara waktu, ejen Rangel sudahpun dimaklumkan untuk menasihati penyerang itu agar berhati-hati membuat sebarang ulasan sama ada kepada media atau dalam media sosial yang bertujuan menimbulkan salah tafsir orang ramai.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.