Categories
SELANGOR

Jadikan Shah Alam bandar raya berkualiti & unggul

Oleh: Naeem Raffi

SHAH ALAM, 1 NOV : Lebih 1,700 pegawai dan kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diminta terus mengekalkan momentum sedia ada kepada Datuk Bandar baharu bagi meneruskan agenda menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya berkualiti, sejahtera, kondusif dan terunggul.

Datuk Bandar MBSA, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan juga menuntut seluruh kakitangan MBSA untuk lebih bekerja keras dan sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab dalam memenuhi ekspektasi tinggi dari warga Shah Alam.

IMG_9589Demikian amanat terakhir Mohd Jaafar yang secara rasminya bersara wajib hari ini.

“Sedarlah bahawa hari ini, masyarakat menuntut ekspektasi yang begitu tinggi daripada penjawat-penjawat awam.

“Nasihat saya, jadilah penjawat awam yang berintegriti, berakauntabiliti dan berbanggalah kerana kamu adalah sebahagian daripada penjawat awam.

“Kita dibayar gaji untuk berkhidmat, bawalah gaji yang berkat pulang ke rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas Datuk Bandar MBSA di Dewan Bankuet MBSA di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Datuk Bandar, Mohtar Hani dan Timbalan Setiausaha, Roslan Darus.

Mohd Jaafar mula dilantik sebagai Datuk Bandar MBSA keenam pada 1 April 2011 mengantikan Datuk Mazlan Md Noor.

Sebelum perlantikan itu, Mohd Jaafar telahpun berkhidmat selama lima tahun sebagai Pengarah Perancangan Bandar dan Desa Selangor.

Dalam tempoh tiga tahun enam bulan sebagai Datuk Bandar, Mohd Jaafar banyak membawa perubahan besar buat kakitangan MBSA dan warga Shah Alam khususnya dari sudut tadbir urus, kewangan, kebersihan, perkhidmatan perbandaran dan pembangunan masyarakat.

Untuk rekod, sepanjang berkhidmat, beliau tidak pernah mengambil cuti sakit dan hanya mengambil cuti rehat tidak melebihi empat hari dalam setahun.

Bercakap kepada pemberita seusai majlis itu, Mohd Jaafar turut mengakui dirinya bertuah memiliki pasukan dan kakitangan sentiasa bekerja keras meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Saya tidak mampu berjaya dengan bekerja seorang diri dan sebab itulah saya berbangga dan gembira kerana memiliki penjawat awam yang sentiasa bekerja keras meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Aset terpenting pada saya adalah sumber manusia yang bekerja dalam bentuk pasukan dan apabila semua ini terjana, kita dapat lihat bagaimana MBSA berjaya mengubah suasana di bandaraya ini,” katanya.

Terdahulu, warga MBSA turut meraikan ulangtahun kelahiran 60 tahun Mohd Jaafar yang jatuh pada tanggal 1 November (hari ini) dengan upacara memotong kek.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.