Categories
SELANGOR

Loji Pembersihan Air Sg Semenyih loji pertama negara terima sijil ISO 22301:2012

Oleh: AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 29 NOV: Konsortium ABASS Sdn Bhd (Abass) selaku pemegang konsesi Loji Pembersihan Air Sungai Semenyih, Presint 19, Putrajaya mencipta sejarah di dalam Rekod Buku Malaysia (Malaysia Book Of Records) apabila menjadi loji pembersihan air pertama di Malaysia memperoleh pensijilan ISO 22301:2012 untuk Sistem Pengurusan Kesinambungan Perniagaan.

Pengerusi Konsortium Abass Suhaimi Kamaralzaman berkata, pensijilian ini hasil daripada inisiatif program untuk memperoleh pensijilan ISO yang dimulakan sejak 2012.

Sg semenyihPengesahan ini dibuat hasil daripada sesi Audit Kesediaan dan Pematuhan yang dilaksanakan pada April 2014 dan pasca audit oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim Berhad).

Menurutnya, perakuan ini merupakan salah satu mekanisme penilaian, penganalisisan dan pemantauan risiko bersifat keselamatan masyarakat serta penyediaan pelan tindakan kesinambungan perniagaan lebih efektif memastikan bekalan air terawat tidak terjejas kepada pengguna.

“Bagi mendapatkan perakuan ISO 22301:2012, satu Jawatankuasa Pemandu ISO ditubuhkan pada Jun 2013 untuk pelaksanaan program latihan, penyediaan dokumen, perumusan polisi dan strategi untuk mendapatkan pengiktirafan itu.

ABBAS2“Tempoh penyediaan dokumen dan pelaksanaan pematuhan selama enam bulan untuk memenuhi piawaian meningkatkan kompetensi warga kerja Abass dalam pengurusan risiko perniagaan dan operasi loji,” katanya kepada media.

Jelasnya lagi, Selera Risiko (Risk Appetite) tertumpu kepada kemampuan dan jenis risiko berkaitan dengan proses pembersihan air dan perumusan pelan tindakan efektif menangani insiden yang boleh menjejaskan operasi.

Persediaan utama mengambil kira dan mengenal pasti ‘Masa Pemulihan Operasi’ yang terpantas dalam loji.

Detik bersejarah ini diabadikan dalam Majlis Penyampaian Sijil Rekod Buku Malaysia ISO 22301-2012 kepada Pengerusi Konsortium Abass, Sdn Bhd, Suhaimi Kamaralzaman oleh Pengarah Urusan Sirim Qas International Sdn Bhd, Khalidah Mustafa dan Pengarah Urusan Malaysia Book Of Record Sdn Bhd Tan Sri Datuk Danny Ooi sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Loji dilengkapi teknologi terkini berkebolehan menghasilkan 680 juta liter air sehari membekalkan air terawat ke Putrajaya, Cyberjaya, Puchong, Bandar Baru Bangi, Daerah Sepang, Kuala Langat dan kawasan sekitarnya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.