Categories
SELANGOR

Jual beli 90.83% saham Titisan Modal adil dan munasabah

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 NOV: Tindakan Kumpulan Perangsang Sdn Bhd menjual 90.83 peratus saham milik anak syarikatnya, Titisan Modal (M) Sdn Bhd kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dengan nilai RM78.05 juta adalah adil dan munasabah.

Memetik laporan The Edge, dalam kenyataan Perangsang kepada Bursa Malaysia semalam, Crowe Horwath Advisory Sdn Bhd berkata, ia mengambil kira pelbagai faktor termasuk rasional dan penilaian transaksi.

Katanya, transaksi Titisan Modal dinilai pada kadar 1.05 kali ganda daripada perspektif ratio ‘price-to-book’ iaitu 0.94 kali ganda lebih tinggi daripada penilaian dibuat Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) and Air Selangor.

empangan-selangor-sept-3“Kami berpendapatan pertimbangan penjualan itu adil dan munasabah atas dasar terdapat sedikit premium bernilai 4.8 peratus berbanding nilai saham pelupusan,” kata Crowe Horwath.

Titisan Modal memiliki 100 peratus Konsortium Abass Sdn Bhd yang memiliki konsesi 30 tahun di bawah skim pembekalan air Sungai Semenyih.

Crowe Horwath berkata, penjualan itu juga tidak akan menjejaskan kepentingan pemegang saham minoriti Kumpulan Perangsang.

“Kami mencadangkan pemegang saham minoriti Kumpulan Perangsang mengundi cadangan itu pada mesyuarat agung luar biasa, pada 9 Disember ini,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Loji Pembersihan Air Sg Semenyih loji pertama negara terima sijil ISO 22301:2012

Oleh: AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 29 NOV: Konsortium ABASS Sdn Bhd (Abass) selaku pemegang konsesi Loji Pembersihan Air Sungai Semenyih, Presint 19, Putrajaya mencipta sejarah di dalam Rekod Buku Malaysia (Malaysia Book Of Records) apabila menjadi loji pembersihan air pertama di Malaysia memperoleh pensijilan ISO 22301:2012 untuk Sistem Pengurusan Kesinambungan Perniagaan.

Pengerusi Konsortium Abass Suhaimi Kamaralzaman berkata, pensijilian ini hasil daripada inisiatif program untuk memperoleh pensijilan ISO yang dimulakan sejak 2012.

Sg semenyihPengesahan ini dibuat hasil daripada sesi Audit Kesediaan dan Pematuhan yang dilaksanakan pada April 2014 dan pasca audit oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim Berhad).

Menurutnya, perakuan ini merupakan salah satu mekanisme penilaian, penganalisisan dan pemantauan risiko bersifat keselamatan masyarakat serta penyediaan pelan tindakan kesinambungan perniagaan lebih efektif memastikan bekalan air terawat tidak terjejas kepada pengguna.

“Bagi mendapatkan perakuan ISO 22301:2012, satu Jawatankuasa Pemandu ISO ditubuhkan pada Jun 2013 untuk pelaksanaan program latihan, penyediaan dokumen, perumusan polisi dan strategi untuk mendapatkan pengiktirafan itu.

ABBAS2“Tempoh penyediaan dokumen dan pelaksanaan pematuhan selama enam bulan untuk memenuhi piawaian meningkatkan kompetensi warga kerja Abass dalam pengurusan risiko perniagaan dan operasi loji,” katanya kepada media.

Jelasnya lagi, Selera Risiko (Risk Appetite) tertumpu kepada kemampuan dan jenis risiko berkaitan dengan proses pembersihan air dan perumusan pelan tindakan efektif menangani insiden yang boleh menjejaskan operasi.

Persediaan utama mengambil kira dan mengenal pasti ‘Masa Pemulihan Operasi’ yang terpantas dalam loji.

Detik bersejarah ini diabadikan dalam Majlis Penyampaian Sijil Rekod Buku Malaysia ISO 22301-2012 kepada Pengerusi Konsortium Abass, Sdn Bhd, Suhaimi Kamaralzaman oleh Pengarah Urusan Sirim Qas International Sdn Bhd, Khalidah Mustafa dan Pengarah Urusan Malaysia Book Of Record Sdn Bhd Tan Sri Datuk Danny Ooi sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Loji dilengkapi teknologi terkini berkebolehan menghasilkan 680 juta liter air sehari membekalkan air terawat ke Putrajaya, Cyberjaya, Puchong, Bandar Baru Bangi, Daerah Sepang, Kuala Langat dan kawasan sekitarnya.

EZY

Categories
SELANGOR

Selangor bakal muktamd saham ABBAS, SPLASH suku ke-3 2015

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Selangor dijangka memuktamadkan pengambilalihan saham dua lagi syarikat konsesi pada suku ketiga tahun 2015, kata Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, tempoh berkenaan adalah mengikut syarat perjanjian yang dipersetujui dan ditandatangani pentadbiran sebelum ini di bawah mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, pentadbiran lama mensyaratkan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menandatangani pembelian saham dengan SPLASH dalam tempoh setahun, selepas tarikh 12 November lalu.

air pahang“Langkah seterusnya dalam proses penstrukturan industri air Selangor dengan memuktamadkan pengambilalihan dua lagi syarikat konsesi iaitu ABBAS dan SPLASH yang juga akan mengikut kerangka dasar yang menjamin kpentingan rakyat Selangor,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Mohamed Azmin turut memberitahu Dewan Negeri beberapa terma perjanjian perstrukturan industri perkhidmatan air.

“Pada umumnya, antara persetujuan itu adalah untuk saling memudah cara bagi menjayakan penstrukturan industri perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

azmin“Juga penyaluran pembiayaan untuk urusan pengambilalihan ekuiti syarikat konsesi, persetujuan untuk sewa tapak bekalan air.

“Seterusnya, penyerahan pengendalian dan penyelenggaraan industri perkhidmatan air kepada Air Selangor dan pemberian lesen perkhidmatan kepada syarikat Air Selangor,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Air Percuma Diteruskan, Kerajaan Negeri Diharap Ambilalih Industri Air Elak Naik Tarif

Forum Air Rakyat 01

AMPANG, 24 FEB : Sambil menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk mengambilalih industri air, penduduk di sini berharap skim pemberian 20 meter padu air percuma akan diteruskan sekiranya Pakatan Rakyat (PR) kembali memerintah Selangor dalam pilihanraya akan datang.

Setelah mendengari taklimat di Forum Air di sini, mereka gusar dengan kemungkinan tarif air akan dinaikkan semula sekiranya Umno-BN kembali memerintah Selangor.

Ini kerana mengikut Perjanjian Penswastaan Air 2004, Syabas diberi kuasa untuk menaikkan tarif air sebanyak 37 peratus pada 2009 dan 25 peratus pada 2012.

Kenaikkan tersebut dihalang oleh PR Selangor sejak ia mula memerintah negeri pada 2008, tahun yang sama ia memperkenalkan skim air percuma 20 meter padu.

cheah ken voon, 63Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Baru Ampang, Cheah Ken Voon, 63, berkata, rakyat di Selangor tidak pernah merasai manfaat air percuma semasa berada di bawah pentadbiran Kerajaan Umno-BN.

Justeru katanya, forum air anjuran Kerajaan Negeri itu membuka mata ramai pihak behubung fakta sebenar dakwaan krisis air yang sering diputar belitkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

“Terima kasih atas usaha Kerajaan Negeri untuk memberi penerangan kepada rakyat tentang krisis air yang didakwa berlaku di negeri ini.

“Secara keseluruhannya, rakyat tidak boleh menafikan bahawa kita sememangnya menerima manfaat air percuma daripada Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sejak tahun 2008.

“Malah kita juga berharap pihak Syabas mahupun Kerajaan Pusat supaya tidak lagi mempolitikkan isu air dan menyerahkan operasi pengurusan air kepada Kerajaan Negeri dengan segera demi kepentingan rakyat,” katanya.

Forum Air Untuk Rakyat diadakan di Dewan Orang Ramai Bandar Baru Ampang di sini hari. Taklimat di forum tersebut diberikan oleh MP Klang Charles Santiago.

kasim zaini, 53Kasim Zaini, 53, menyifatkan usaha Kerajaan Negeri untuk mengambil alih industri perkhidmatan air di Selangor dan Lembah Klang daripada Syabas membuktikan bahawa pentadbiran PR Selangor benar-benar prihatin terhadap kepentingan rakyat.

Malah katanya, penswastaan air hanya merugikan rakyat dan memberi keuntungan besar kepada syarikat konsesi.

“Air adalah asas utama kepada rakyat. Jadi, sekiranya perkhidmatan air ini terus diswastakan, ia akan membebankan rakyat.

“Syarikat konsesi akan terus mencari keuntungan dan merugikan rakyat.

“Maka usaha Kerajaan Negeri ini untuk mengambil alih pengurusan air seharusnya disokong seratus peratus demi masa depan kita semua,” ujarnya.

Minggu lepas, Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion kepada empat syarikat untuk mengambilalih operasi rawatan dan bekalan air daripada mereka.

Syarikat itu adalah Syabas, Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding (Splash).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Boleh Rujuk Timbang Tara Berhubung Tawaran RM 9.65 bilion Kerajaan Negeri

MB Majlis Ikrar PKPS dan SPRM Tingkat 22 SUK 01

SHAH ALAM, 21 FEB : Empat syarikat konsesi yang mengurus industri air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya boleh membawa tawaran RM 9.65 bilion ke Jawatankuasa Timbang Tara sekiranya tidak berpuas hati terhadap jumlah tersebut.

Akan tetapi, Kerajaan Negeri mengulangi pendirian bahawa tawaran itu adalah yang terbaik kerana ia memberikan pulangan 12 peratus setahun terhadap ekuiti kepada pemegang saham syarikat-syarikat tersebut.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tawaran tersebut akan menstruktur semula industri air supaya menjadi lebih cekap.

“Itu merupakan tawaran rakyat Selangor yang terbaik kerana rakyat Selangor tidak mahu membayar lebih daripada itu kepada syarikat konsesi berkenaan.

“Kalau mereka tidak berpuas hati, kita boleh adakan usaha terbuka untuk ditimbang tara,” katanya dalam sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.

Semalam Kerajaan Negeri mengumumkan tawaran RM 9.65 bilion kepada empat syarikat konsensi untuk ambilalih operasi mereka.

Empat syarikat tersebut adalah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding (Splash).

Tawaran itu memberi pulangan yang lebih berbanding dengan pulangan pada masa kini yang hanya enam peratus setahun.

Sekiranya tawaran tersebut diterima, Kerajaan Negeri akan mengurus seluruh sistem bekalan air terawat yang selama ini dilanda masalah air hilang yang agak tiggi, gangguan bekalan dan kenaikan harga yang tidak munasabah.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut menegaskan tawaran itu telahpun diserahkan kepada keempat-empat syarikat konsesi berkenaan untuk dinilai.

Dalam kes Syabas, tawaran tersebut dikemukan kepada pemegang ekuiti di dalam Syabas iaitu Puncak Niaga Holdings Berhad.

“Syabas memang tidak terima tawaran itu, sebaliknya pemilik saham Syabas yang menerimanya. Kita hendak ambil alih ekuiti, maknanya pekerja Syabas tidak ada kena mengena dalam hal ini. Kita beri pada orang yang memiliki saham,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

RM 9.65 bilion Untuk Ambilalih Industri Air

air-syabas_MB1

SHAH ALAM 20 FEB : Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion kepada empat syarikat yang mengurus industri air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi mengambilalih operasi mereka.

Tawaran itu akan memberi pulangan 12 peratus setahun terhadap ekuiti kepada syarikat-syarikat tersebut dan merupakan usaha terkini Kerajaan Negeri untuk menstruktur semula industri air supaya menjadi lebih cekap.

Tawaran RM 9.65 bilion itu memberi pulangan yang lebih berbanding dengan pulangan pada masa kini yang hanya enam peratus setahun.

Sekiranya tawaran tersebut diterima, Kerajaan Negeri akan mengurus seluruh sistem bekalan air terawat yang selama ini dilanda masalah air hilang yang agak tiggi, gangguan bekalan dan kenaikan harga yag tidak munasabah.

Tawaran itu akan dilakukan melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding (Splash).

Mengikut perjanjian penswastaan air 2004, rawatan bekalan air mentah dikendalikan Puncak Niaga, Abbas dan Splash. Manakala sistem edaran air terawat dilakukan oleh Syabas.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan surat tawaran itu telah dikeluarkan secara rasmi oleh KDEB petang ini.

“Cara pengambil alihan akan dibuat melalui dua peringkat. Kita bayar equiti kepada setiap syarikat itu. Semua aset liabiliti diambil alih melalui KDEB, manakala hal berkenaan pemilikan akan diuruskan Kerajaan Negeri.

“KDEB hanya pemegang equiti manakala Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) yang akan pegang secara keseluruhan.?

Jelasnya, segala liabiliti akan juga diambil alih oleh KDEB menerusi Entiti Tujuan Khas atau ‘Special Purpose Vehicle’.

“Saya sudah tandatangan surat itu. Usaha ini untuk kembalikan hak air kepada Selangor. Kerajaan Negeri dipilih rakyat untuk mepimpin negeri, jadi kita ada hak untuk urus industri air.

“Kita percaya proses pengambilalihan itu akan berjalan lancar memandangkan tawaran ini adalah tawaran terbaik oleh rakyat negeri ini demi mempertahankan hak air mereka,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco baru baru ini.

Abdul Khalid menambah Kerajaan Negeri memberi tempoh selama 14 hari untuk syarikat-syarikat berkenaan menjawab tawaran itu.

“Saya diberitahu syarikat-syarikat ini akan kemukakan tawaran kita dalam mesyuarat agung tahunan (AGM), yang mana saham mereka diuruskan oleh pasaran saham.

?Jadi ia akan memakan masa, jadi biar mereka kemukan tawaran itu dalam mesyuarat itu, yang mana pemilik saham akan tentukan sama ada setuju atau tidak,” katanya.

Categories
SELANGOR

Ganguan Air Disebabkan Paip Syabas Bocor, Tidak Diselengara

SHAH ALAM, 29 OGOS : Perkhidmatan air di beberapa kawasan Selangor memgalamai ganguan ekoran kegagalan Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menyelenggara paip dan saluran dengan baik sehingga menyebabkan kebocoran.

Ini menyebabkan bekalan air terawat di kawasan-kawasan itu terpaksa dihentikan buat seketika untuk kerja-kerja pembaikan dilakukan, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kita masih mendapati bahawa Syabas tidak begitu disiplin dari segi menjaga alat dan paip sehinggakan terdapat beberapa kebocoran yang berlaku.?

Beliau berkata kebocoran bekalan air terawat ini dikesan melalui jawatankuasa khas pemantau operasi harian Syabas.

Abdul Khalid berkata demikian di dalam sidang media selepas mesyuarat Exco, di sini petang tadi.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata Kerajaan Selangor akan bertemu empat syarikat konsesi yang mengendalikan aset air terawat di Selangor bagi menyelesaikan penstrukturan semula air.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tawaran kepada keempat-empat syarikat terbabit akan dilaksanakan pada minggu kedua September depan.

Empat syarikat konsesi air itu ialah Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (Puncak Niaga), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Konsortium ABBAS Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash).

“Kerajaan Negeri juga sudah menerima surat daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia (KeTTHA) yang bersetuju supaya kita mengemukakan beberapa usaha supaya penyusunan semula industri air dilakukan secara holistik.

“Kita juga akan turut membentangkan cadangan dan kertas kerja berhubung perkara ini pada minggu kedua bulan September,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Situasi Sebenar Air Selangor Akan Diketahui Setiap Hari

SHAH ALAM, 16 OGOS : Rakyat Selangor akan mendapat maklumat terkini tentang situasi bekalan air negeri setiap hari daripada Jawatankuasa Pemantau Kerajaan Negeri terhadapĀ  Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Jawatankuasa tersebut akan mengeluarkan kenyataan akhbar setiap hari selepas selesai mengadakan mesyuarat harian dengan pengurusan Syabas.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata langkah ini bertujuan memaklumkan perkembangan terkini tentang status pembekalan dan perkhidmatan air kepada seluruh rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Cara ini juga membuktikan Kerajaan Selangor sangat telus dalam menangani isu pembekalan air demi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik dan memuaskan setimpal dengan kadar tarif air yang dibayar.”

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mesyuarat exco di sini hari ini.

Jawatankuasa Pemantauan SYABAS yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohamed Khusrin Munawi betanggungjawab memantau operasi SYABAS bermula 18 Julai lalu.

Ia anggotai pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Konsortium ABBAS dan bekas kakitangan Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS).

Laporan pertama jawatankuasa mendapati keupayaan pengeluaran semua 34 loji ialah 4,807 juta liter sehari (MLD) berbanding keupayaan agihan SYABAS 4,371 MLD.

Ini bermaksud terdapat lebihan 436 MLD yang Syabas tidak mampu agihkan.

Sebelum ini, dilaporkan jawatankuasa tersebut juga mendapati angka peratusan rizab air terawat yang dikeluarkan Syabas sebanyak dua peratus tidak tepat.

Rizab kapasiti pengeluaran sebenar pada masa ini adalah 11 peratus dan akan meningkat kepada 18 peratus selepas Mac 2013 apabila projek mitigasi air siap sepenuhnya.