Categories
SELANGOR

Sedia bantu Red Giants bangkit ‘kuasa besar’ bola sepak

Oleh: HAFIZAN TAIB

SEPANG, 8 NOV: Kerajaan Negeri akan membantu Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bagi meningkatkan pencapaian pasukan dalam Liga Super Malaysia (MSL) dan seterusnya mengekalkan Selangor sebagai kuasa besar bola sepak tempatan.

“Memang akan dan perlu membantu sebagaimana dilaksanakan sebelum ini. Kita sedang menunggu beberapa keputusan daripada FAS,” kata Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari di sini, hari ini.

fas_logoBeliau berkata, Kerajaan Negeri setakat ini tidak boleh mencampuri urusan FAS dan perlu menunggu peralihan jawatan dalam persatuan itu yang ketika ini masih diketuai bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Presiden.

Katanya, perbincangan dengan beberapa pihak sedang dijalankan bagi memastikan peralihan kuasa itu lancar dan Selangor dapat menyediakan pasukan mantap bagi penghadapi saingan MSL musim depan.

“Saya mendapat maklum balas daripada peminat dan kelab penyokong pasukan, meminta kita terbabit secara aktif atau melaksanakan perubahan dalam penstrukturan pasukan dan pentadbiran FAS.

“Saya berharap penyokong bersabar kerana kita menunggu proses peralihan itu dan semua pihak boleh bekerjasama untuk memastikan pasukan bolasepak Selangor dapat meningkatkan pengurusan dan pencapaian pasukan serta mengekalkan Selangor sebagai kuasa besar bolasepak tempatan,” katanya.

Mengenai pembelian pemain, katanya, memang FAS sedang melihat dan menilai beberapa pemain untuk dipertimbangkan bagi mewakili Selangor bagi musim depan.

“Itu masih lagi dalam bayangan, belum lagi jelas sebab apa dinyatakan masih dalam perkiraan FAS. Kita pun belum dapat maklumat jelas apa perancangan mereka,” katanya mengulas mengenainya termasuk ura-ura membeli bekas pemain Peranchis, Nicolas Anelka.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.