Categories
SELANGOR

Penduduk Kg Sg Chua mahu masalah 18 kilang haram diselesaikan

Oleh: NAEEM RAFFI

KAJANG, 15 DIS: Penduduk Kampung Kwan Tung Baru, Sungai Chua mahu pihak berkuasa tempatan tegas menangani kewujudan 18 kilang haram yang menimbulkan pelbagai masalah.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung (JKKK) Kwan Tung Baru, Lim Thian Ser, berkata penduduk berdepan pencemaran bunyi malah ancaman keselamatan ekoran kekerapan lori keluar masuk di jalan utama perumahan itu.

tapakkilang1“Masalah ini berlaku sejak tahun 2000 dan semakin bertambah, kami mengenal pasti ada dua lagi kilang haram dalam pembinaan.

“Sekiranya perkara ini tidak dapat diselesaikan, ia memberi masalah besar kepada 78 keluarga di kampung ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya beberapa kali membuat teguran kepada pemilik kilang, bagaimanapun tidak diendahkan.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah menggesa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengambil tindakan segera selain meningkatkan penguatkuasaan.

“Dasar Kerajaan Negeri jelas, kilang tidak boleh dibina dan beroperasi di dalam kampung tradisi atau kampung baru kerana ia akan kacau ganggu kehidupan penduduk.

“Kita serius dalam kes ini demi hak dan kebajikan penduduk. Kita tidak mahu kes kebakaran di kampung berpunca daripada aktiviti kilang haram,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika turun padang meninjau lokasi kilang haram di Kwan Tung Baru, Sungai Chua di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat dan Timbalan Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MPKj, Reduan Idris

Reduan berkata, MPKj sedia maklum aduan penduduk dan pihaknya mengeluarkan notis kepada sebahagian pengusaha kilang haram di situ.

Katanya, sekiranya mereka ingkar dengan notis dikeluarkan, MPKj melanjutkan kes itu ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

“Kita keluarkan notis menerusi Akta Perancang Bandar dan Desa 1976, atas kesalahan membuat pembangunan tanpa kebenaran merancang.

“Sehingga kini, sebuah kilang haram dibawa ke mahkamah dan pengusaha kilang berdepan tindakan merobohkan binaan serta denda RM2,000,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.