Categories
SELANGOR

MB: Jangan salahkan Cina, harga barang naik sebab gagal urus ekonomi

Oleh: NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 1 MAC: Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali membidas pihak yang mendakwa peningkatan inflasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan masyarakat Cina.

Mohamed Azmin berkata, dakwaan bersifat rasis itu dikeluarkan pihak yang mahu menutup kegagalan mereka sendiri menguruskan ekonomi negara dengan baik.

cny ampang 4“Saya kesal dengan sesetengah pihak yang sewenang-wenangnya mainkan isu perkauman bagi menutup kelemahan mereka menguruskan ekonomi negara dengan menyalahkan masyarakat Cina terutama golongan peniaga.

“Kita semua rakyat Malaysia jika mahu menentang inflasi untuk turunkan harga barang berjuanglah sebagai rakyat Malaysia sebab inflasi dan kenaikan harga adalah buta warna kulit, tidak mengira Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan.

“Jika harga barang naik, jangan salahkan orang Cina, salahkan sistem yang tidak telus dan tak diuruskan dengan baik yang menyebabkan banyak ketirisan dan juga kebocoran,” kata Mohamed Azmin malam tadi.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor di Padang Perbandaran Ampang, di sini.

Jelas Mohamed Azmin, golongan berfikiran sempit ini perlu menerima hakikat masyarakat Cina di negara ini turut memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara sejak merdeka.

Mohamed Azmin turut mengulangi penegasan sebelum ini bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak akan mebenarkan sentimen perkauman dan agama yang sempit dimainkan dalam negeri Selangor.

Beliau menggesa rakyat berusaha lebih gigih dalam menghadapi suasana ekonomi lembab dan kenaikan harga barang disebabkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Sementara itu Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Selangor malam tadi meriah dengan kehadiran kira-kira 2,000 pengunjung sejak petang.

Turut sama hadir dalam sambutan itu, beberapa Exco Kerajaan Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Teng Chang Khim, Elizabeth Wong; Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.