Categories
SELANGOR

Orang ramai rebut peluang daftar Rumah Selangorku

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 22 MAC: Cuti hujung minggu yang sering dijadikan hari santai bagi kebanyakan orang hari ini dimanfaatkan dengan mengunjungi pusat jualan Rumah Selangorku yang ditawarkan Kerajaan Negeri di Bandar Rimbayu berhampiran kawasan Kota Kemuning.

Rakyat berbilang bangsa menggunakan kesempatan yang ada untuk mengetahui dengan lebih lanjut skim rumah mampu milik yang diperkenalkan Kerajaan Selangor dengan harga berpatutan khusus bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

MB rumahOrang ramai mula memenuhi ruangan pusat jualan terbabit seawal 9 pagi yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Cuaca mendung beserta hujan renyai tidak menghalang niat orang ramai untuk mengunjungi pusat jualan Rumah Selangorku yang diusahakan syarikat pemaju swasta terkemuka, IJM Land.

Dianggarkan hampir 500 pengunjung hadir merebut peluang untuk memiliki 2,330 unit kediaman di kawasan itu dengan tawaran harga antara RM42,000 hingga RM250,000 seunit.

Terdapat sembilan projek Rumah Selangorku di bawah Skim Insentif Galakan Rumah Selangorku 2015 yang diluluskan Kerajaan Negeri dengan jumlah keseluruhan sebanyak 11,833 unit.

Jumlah ini tidak termasuk sebanyak lebih 22,444 unit yang akan dibina menjelang 2018.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.