Categories
SELANGOR

RM357,000 taja 35 belia program diploma UPM

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 6 MAC: Seramai 35 Penggerak Belia Tempatan (PeBT) terpilih mengikuti Program Diploma Belia Dalam Kerja Pembangunan Eksekutif (DBKP) selama tiga tahun dengan tajaan penuh sejumlah RM357,200 dari Kerajaan Negeri.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Amirudin Shari berkata inisiatif itu diambil bagi memberi ruang khusus kepada pemimpin belia PeBT mengembangkan bakat kepimpinan mereka.

AMIR MOU“Program ini melatih peserta untuk proaktif berdaya saing dalam merancang, melaksana, menilai program pembangunan belia di peringkat komuniti.

“Pada akhirnya nanti, sudah tentu Kerajaan Selangor dan rakyat mendapat manfaat yang besar daripada bakal graduan ini,” katanya.

Beliau berkata ketika berucap pada Majlis MoU antara Kerajaan Selangor dengan UPM mengenai DBKP, di Ballroom, Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Beliau kemudiannya menyaksikan upacara tanda tangan diantara Kerajaan Selangor dengan UPM.

Timbalan Setiuasaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Mohamad Roslan Sakiman menandatangani MoU itu bagi Kerajaan Selangor, sementara UPM diwakili Naib Canselornya, Datuk Mohd Fauzi Ramlan.

Sementara itu, Mohd Fauzi berharap pementeraian MoU itu menjadi pendorong dan motivasi kepada pihak lain mencontohi usaha Selangor menjana kecemerlangan negeri menerusi pembangunan belia.

“Penganjuran program ini sejajar dengan hasrat negara mencapai status negara maju menjelang 2020, selain selari dengan RMK10 dalam pembangunan modal insan.

“Antara jawatan yang boleh dipenuhi graduan program ini meliputi semua peringkat dari Penolong Pegawai Belia, Pengurus Latihan Pembangunan Belia, Perancang Sumber Manusia hingga Penyelidik dalam Pembangunan Belia,” katanya.

Pada ketika ini, UPM berada di tangga ke-56 universiti pertanian terbaik di dunia, ketujuh di Asia dan pertama di Asia Tenggara.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.