Categories
NASIONAL

Berikan ruang bukan terus diserang

Oleh: NAEEM RAFFI

KUALA SELANGOR, 6 JUN: Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berharap pemimpin yang ‘meninggalkan rumah’ tidak terus diserang dan ditekan.

Katanya, sewajarnya barisan pemimpin yang tewas dalam pemilihan Khamis lalu disambut dengan cara baik dan bukannya terus difitnah.

Mat Sabu“Saya ini ingin keluar rumah kerana terpaksa beri ruang kepada orang baru untuk isi rumah tersebut.

“Selalunya apabila kita mahu keluar rumah, sediakanlah sedikit bekalan untuk kami berpindah dengan baik. Bukannya disimbah asid.

“Melawat Iraq, kita temui kaum Kurdish yang mana adat tuan rumahnya meminta tetamu yang ingin pulang melalui bawah al-Quran yang diangkatnya sebagai tanda menghormati selain berharap tetamu itu teringat ziarahnya kembali,” katanya memberi contoh perlu diteladani.

Beliau berkata demikian ucapan terakhirnya di Muktamar PAS di Kuala Selangor selepas gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden.

Pemilihan sesi 2015/2017 menyaksikan Tuan Ibrahim Tuan Man diisytiharkan sebagai Timbalan Presiden PAS yang baru selepas menewaskan penyandangnya Mohamad Sabu dengan majoriti 602 undi.

Tuan Ibrahim memperolehi 881 undi berbanding Mohamad yang memperolehi 279 undi.

Sementara itu, Bekas Naib Presiden Salahuddin Ayub pula menganggap kegagalannya mempertahankan jawatan tersebut membuka ruang untuknya memuhasabah diri untuk lebih bersedia menyumbang yang terbaik kepada parti.

“Kekalahan saya pada sesi ini saya sambut dengan hati terbuka.

Salahuddin Ayub“Kekalahan ini memberi peluang untuk saya memuhasabah diri. Mungkin ia berpunca dari pendekatan politik saya yang dianggap tidak lagi sesuai,” katanya.

Sambil berseloroh, Salahuddin berkata pemimpin yang kalah pemilihan serba tidak kena di hari terakhir Muktamar Tahunan PAS ini.

“Saya ditegur pakai seluar hitam dengan baju melayu (jingga), Mahfuz pula, lupa pakai sampin, Mat Sabu pakai kot dengan kopiah.

“Macam-macam gelagat orang kalah ini,” katanya mencuit hati pewakilan dan pemerhati.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.