Categories
KENYATAAN MEDIA

GERAMM kecam wartawan diserang dalam kekecohan Plaza Low Yat

Gerakan Media Marah (GERAMM) memandang serius insiden pengamal-pengamal media tercedera semasa kekecohan yang berlaku berdekatan Low Yat Plaza di Bukit Bintang, Kuala Lumpur malam tadi.

Walau kami masih mendapatkan maklumat lebih tepat berhubung insiden tersebut, beberapa orang wartawan dilaporkan tercedera; sekurang-kurangnya dua memerlukan rawatan perubatan.

geramm1622757_639867469405812_2095588228_nMerujuk kekerasan ke atas pengamal media, GERAMM mengecam sekeras-kerasnya serangan itu. Kami juga mengingatkan semua bahawa keganasan bukan tindakan sesuai dalam apa jua keadaan.

Penting ditegaskan di sini, pengamal media berada di tempat kejadian untuk berkhidmat bagi kepentingan awam dan tidak wajar mereka dijadikan sasaran pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

GERAMM turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis kerana bertindak mengawal keadaan. Kami berharap tindakan tegas diambil terhadap pelaku-pelaku keganasan ini.

Secara amnya, GERAMM mengecam tindakan individu-individu yang menimbulkan kekecohan dan mereka yang menggunakan insiden tersebut untuk mengapi-apikan sentimen perkauman yang boleh merosakkan perpaduan masyarakat.

GERAMM menyeru semua pihak agar bertenang dan membenarkan polis menjalankan tugas mengikut lunas undang-undang.

Kami ingin menyeru semua pihak, termasuk wartawan, agar tidak menyebarkan khabar angin yang boleh memburukkan lagi keadaan.

GERAMM benar-benar berharap kepada semua media agar berpegang teguh pada etika kewartawanan dalam menjalankan tugas, khususnya dalam melaporkan isu-isu hubungan kaum.

Tugas kita, seperti lazimnya, melaporkan fakta serta membantu memberi maklumat tepat, objektif dan telus kepada semua pihak.

GERAMM merakamkan terima kasih kepada semua petugas media yang berada di lokasi kejadian malam tadi kerana bersikap profesional dan juga sedia membantu rakan-rakan wartawan yang diserang.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.