Categories
SELANGOR

Kuala Kubu Bharu kekal identiti sejarah

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA KUBU BHARU, 27 OGOS: Pembangunan Kuala Kubu Bharu dan kawasan sekitarnya dilaksana dengan mengekalkan ekosistem juga identiti sejarah dimiliki.

Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong, berkata ketetapan itu diambil selaras dengan geografi setempat yang kini dikenali sebagai bandar dalam taman.

Lee Kee Hiong a“Kita mahu kekalkan keadaan asal dengan memastikan tiada bangunan tinggi kerana di sini banyak tumbuhan hijau yang melebihi 100 tahun dan tidak bercadang mewujudkan sebarang kawasan perindustrian,” katanya kepada Selangor Kini.

Kee Hiong berkata, penekanan juga terarah kepada eko pelancongan kerana Kuala Kubu Bharu adalah kawasan tadahan air yang membekalkan 60 peratus keperluan kepada penduduk di Lembah Klang.

Katanya, ia juga membantu menarik lebih ramai pelancong selain menggalakkan masyarakat tempatan membabitkan diri dalam industri pelancongan.

“Kita sedang berusaha meningkatkan pelbagai kemudahan, di samping berbincang dengan Persatuan Sejarah Kuala Kubu (Peskubu) dalam usaha mempopularkan bandar ini.

Balai_Polis_Kuala_Kubu_Bharu“Kita juga akan membantu usahawan dalam penghasilan produk contohnya penghasilan kemeja-t ‘I Love Kuala Kubu Bharu’,” katanya.

Beliau merancang mewujudkan sudut puisi di Dataran Kuala Kubu Bharu bagi menghidupkan suasana malam yang lebih ceria.

“Ia khusus untuk mereka yang berminat dalam sastera membuat persembahan seperti membaca puisi di dataran yang terkenal sebagai lokasi menjamu selera di wilayah ini.

“Selain itu, Kuala Kubu Bharu berjaya menarik minat orang ramai ke sini kerana faktor makanannya yang enak dan berbeza dari bandar lain,” katanya.

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.